DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tengah) diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail bergambar bersama ketika majlis perasmian Gagasan Rumpun Selangor pada Program Ekplorasi Gagasan Rumpun Selangor peringkat daerah Hulu Selangor 2024 di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 22 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Gagasan Rumpun Selangor kukuhkan perpaduan, dorong tingkat ekonomi

HULU SELANGOR, 23 FEB: Gagasan Rumpun Selangor menjadi kerangka dalam memperkukuh perpaduan sekali gus menjamin pembangunan sosioekonomi rakyat negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perpaduan masyarakat yang utuh juga menjadi asas utama mendorong peningkatan ekonomi negeri yang dinikmati segenap lapisan rakyat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Perasmian Ekplorasi Gagasan Rumpun Selangor peringkat daerah Hulu Selangor 2024 di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 22 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Itu menjadi antara asas utama mengapa kita berjaya daripada segi ekonomi kerana diasaskan atas kestabilan dan kesefahaman. Walaupun berbeza warna kulit, fahaman dan kepercayaan tetapi matlamat dihalatujukan atas satu landasan iaitu Kita Selangor.

“Gagasan Rumpun Selangor adalah kesinambungan pengisian kepada Kita Selangor yang akan menjadi payung dan kerangka mengukuhkan perpaduan antara kita semua,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program Gagasan Rumpun Selangor daerah Hulu Selangor di sini malam tadi.

Terdahulu, pada majlis itu Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melancarkan logo rasmi Gagasan Rumpun Selangor.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail berkenan melancarkan logo rasmi Gagasan Rumpun Selangor pada Program Ekplorasi Gagasan Rumpun Selangor peringkat daerah Hulu Selangor 2024 di Kuala Kubu Bharu pada 22 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Amirudin berkata kerangka ini juga menjadi matlamat baharu melahirkan komuniti yang berjuang memperkasa semangat Nasionalisme Malaysia dengan mewujudkan kebersamaan dalam kepelbagaian.

“Mungkin ada yang mengambil mudah negara sudah merdeka dan berdaulat tetapi lihatlah di rantau ini, betapa rapuhnya sistem negara berdaulat jika tiada sesiapa memperjuangkan supaya nikmat yang ada dipelihara bersama.

“Ini yang ingin diatasi dan menjadi dorongan Kerajaan Negeri menubuhkan Gagasan Rumpun Selangor bagi memastikan kekayaan dan hasil negeri dinikmati bersama tanpa wujud kecurigaan atau perbalahan yang memungkinkan wujudnya elemen pemecah belah.

“Gagasan Rumpun Selangor memberi suntikan semangat ke seluruh negara bagi melahirkan semangat Nasionalisme Malaysia ibarat sepohon pokok, banyak ranting dan pucuknya, tetapi akhirnya kita berkongsi akar dan aspirasi yang sama,” katanya.

Katanya Selangor adalah ‘melting pot’ negara dengan kepelbagaian latar belakang rakyat yang tiada tandingan jika dibandingkan dengan mana-mana negeri di Malaysia.

“Kita bukan sahaja ada rakyat dari Selatan seperti Melaka dan Johor, wilayah Utara seperti Perlis, Pulau Pinang atau Kedah, meskipun ada yang masih hidup dalam denial, malah selain Kelantan dan Terengganu, ada juga sekumpulan besar warga dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

 


Pengarang :