EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin merasmikan Selangor Saring pada majlis perasmian penutup Program Karnival Prihatin @ Kuala Langat di The Arc @ Bandar Rimbayu, Kuala Langat pada 17 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Saringan kesihatan percuma jelajah 56 DUN, manfaat 20,000 penduduk

KUALA LANGAT, 17 FEB: Program saringan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri yang menjelajah ke 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) membuka tirainya di DUN Sijangkang hari ini.

EXCO kesihatan awam berkata RM3.2 juta diperuntuk bagi menjayakan Selangor Saring membabitkan saringan asas antaranya pemeriksaan fizikal, pengambilan sampel darah dan air kencing.

Jamaliah Jamaluddin menjelaskan program yang memberi manfaat kepada 20,000 penduduk turut menjalankan saringan awal barah bagi mengesan barah kolorektal, prostat, pangkal rahim dan payudara.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berucap pada majlis perasmian penutup Program Karnival Prihatin @ Kuala Langat di The Arc @ Bandar Rimbayu, Kuala Langat pada 17 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Selain itu saringan tambahan adalah pemeriksaan gigi, mata, telinga dan fisioterapi yang mana kita sasarkan 300 hingga 500 individu bagi setiap DUN.

“Individu yang ingin menjalankan saringan boleh membuat pendaftaran melalui aplikasi Selangkah dan kupon saringan akan diberikan berdasarkan keputusan saringan yang diperolehi di aplikasi,” katanya selepas Majlis Pelancaran Selangor Saring 2024 di The Arc@Rimbayu di sini hari ini.

Menurut Jamaliah, tahun ini pihaknya mempergiatkan kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara bagi memastikan lebih ramai menerima manfaat.

“Apa yang penting kita mahu rakyat sedar bahawa langkah pencegahan menerusi saringan awal itu sangat penting untuk mengesan sekiranya ada sebarang penyakit.

“Pencegahan akan banyak memberi kesan kepada kualiti kehidupan kerana keadaan kesihatan amat berkait rapat dengan ekonomi. Jika pencegahan dan saringan awal dibuat (sekiranya ada sebarang penyakit) mungkin ada penjimatan (daripada segi rawatan),” katanya.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin menyantuni pengunjung selepas merasmikan majlis penutup Program Karnival Prihatin @ Kuala Langat di The Arc @ Bandar Rimbayu, Kuala Langat pada 17 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Program Selangor Saring diperkenal pada 2022 bagi membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal dengan menyasar individu mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2024, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM3.2 juta bagi meneruskan Selangor Saring.

 


Pengarang :