Pengurus Besar Yayasan Anak Warisan Selangor (Yawas) Gan Pei Nei (depan, tengah) bergambar bersama peserta ketika majlis berbuka puasa bersama pengasuh anjuran Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Kanak-kanak (IMPAK) di Best Western I-City, Shah Alam pada 30 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

1,000 pengasuh disasar sertai kursus pendidikan awal kanak-kanak

SHAH ALAM, 31 MAC: Seramai 1,000 pengasuh dari rumah disasar menerima latihan di bawah program Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IMPAK).

Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) Gan Pei Nei berkata kursus itu menumpu kepada ilmu dan kemahiran berhubung keselamatan, kesihatan dan kebersihan.

“Kita sasarkan 1,000 individu diberi latihan dan daripada jumlah ini 200 pengasuh terpilih berpeluang menerima geran bernilai RM2,000 setiap seorang.

“Pemilihan pemenang pula kita akan menilai daripada aspek penglibatan mereka sepanjang kursus, tahap kebersihan dan keselamatan di kediaman dan beberapa aspek lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa bersama 100 pengasuh anjuran sekretariat IMPAK, Yawas dan Merdeka Centre di Hotel Best Western, i-City di sini semalam.

Pei Nei menambah setakat ini seramai 147 individu telah mendaftar kursus yang memasuki siri ketiga dan dijangka dilaksanakan pada Mei.

“IMPAK merupakan inisiatif Kerajaan Negeri sebagai mengiktiraf pengasuh yang menjaga anak kecil di rumah yang mana kita rasa amat penting diberi sokongan dan galakan kepada wanita ini untuk bekerja,” katanya.

IMPAK anjuran Yawas merupakan program latihan asas yang ditawarkan percuma kepada individu yang mengasuh kanak-kanak dari rumah tidak melebihi tiga orang.


Pengarang :