Atlet angkat powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin menyumbang emas kelima buat Malaysia dalam acara 72 kilogram pada Sukan Para Asia 2022 di Gimnasium Xiaoshan pada 25 Oktober 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Bonnie raih emas kejohanan piala dunia powerlifting para di Dubai

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila muncul juara di Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia 2024 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), pada Jumaat.

Juara Paralimpik Tokyo 2020 itu meraih pingat emas bagi kategori 72 kilogram (kg) menerusi angkatan terbaiknya seberat 218kg pada percubaan ketiga, menurut laman sesawang World Para Powerlifting www.paralympic.org/powerlifting.

Pada percubaan pertama, atlet berusia 24 tahun kelahiran Sarawak itu berjaya melakukan angkatan seberat 210kg, diikuti 216kg pada percubaan kedua dalam kejohanan itu.

Persaingan antara 11 peserta pada kejohanan berkenaan menyaksikan atlet dari Great Britain, Mark Swan melakukan angkatan 213kg dan Hu Peng (211kg) dari China masing-masing meraih perak dan gangsa.

Ini merupakan pingat emas ketiga Bonnie dalam kejohanan berprestij itu selepas memenanginya di dua edisi pada 2021 masing-masing di Dubai dan Bangkok, Thailand.

– BERNAMA


Pengarang :