SHAH ALAM, 2 MAC: Pengusaha pusat asuhan kanak-kanak memuji Yayasan Hijrah Selangor (HIJRAH) yang mudah memberi pembiayaan sekali gus membantunya menapak lebih jauh dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
Pemilik Little Bunny Child Care Centre berkata menerusi pembiayaan berkenaan beliau bangkit mengusahakan semula pusat asuhan dengan menyewa di lot kedai selepas pusat pertama di kawasan perumahan terpaksa ditutup.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/03/AMY_7805-500x336.jpg.webp)
“HIJRAH sangat bagus dan memudahkan usahawan macam saya. HIJRAH bantu saya untuk menapak lebih jauh dalam bidang ini.
“Insya-Allah, jika diberi rezeki saya ingin membuka lebih banyak pusat asuhan kanak-kanak pada masa akan datang,” kata Wan Nur Hidayah Wan Marzuki.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Little Bunny Child Care Centre yang disempurnakan Setiausaha Kanan EXCO Agama Islam & Pembudayaan Inovasi Muhammad Luqman Hasan di Taman TTDI Jaya, di sini hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/03/AMY_7878-500x333.jpg.webp)
Wan Nur Hidayah menambah, Little Bunny Child Care Centre kini memiliki lima tenaga pengajar bagi mengasuh 25 kanak-kanak.
“Kita menerima kanak-kanak berusia dua bulan hingga 11 bulan dengan caj RM660 sebulan manakala setahun hingga empat tahun (RM560).
“Setakat ini, 25 kanak-kanak sudah berada di bawah jagaan kami dan kapasiti boleh memuatkan hingga 40 orang,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/03/AMY_7773-500x340.jpg.webp)
Sementara itu, Muhammad Luqman yang mewakili Dr Mohammad Fahmi Ngah memuji kesungguhan Wan Nur Hidayah untuk kembali bangkit membuka semula pusat asuhan kanak-kanak.
“Aktiviti yang direncanakan seperti kemahiran sentuhan dan penyediaan permainan yang interaktif itu saya lihat amat bagus dan membantu perkembangan kanak-kanak.
“Selain itu, ia turut memberi kesenangan kepada ibu dan bapa terutama ketika bekerja mereka tidak perlu bimbang lagi anak di bawah jagaan pengasuh terlatih,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/03/AMY_7822-500x310.jpg.webp)