Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (baju biru) ketika melawat kaunter pendaftaran Padu di Dewan Flat Sri Aman, Petaling Jaya pada 31 Mac 2024. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Daftar Padu meningkat 240,000 dalam 12 jam di hari terakhir

PETALING JAYA, 31 MAC: Jumlah individu yang mengemas kini maklumat dalam Pangkalan Data Utama (Padu) meningkat 240,000 setakat tengah malam tadi hingga 12 tengah hari.

Ketua Perangkawan Malaysia berkata pendaftaran kini meningkat kepada 10.8 juta atau 48.3 peratus daripada 21.6 juta penduduk berumur 18 tahun ke atas.

Menurut Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, beliau optimis pendaftaran pada hari terakhir ini mampu mencecah sejumlah 50 peratus.

“Melaksanakan perkara baru kepada orang ramai untuk kemas kini data bukan mudah sebab kita perlu analisis dahulu, buat penelitian mengikut kawasan.

“Padu merupakan inisiatif baharu memang sukar untuk capai 100 peratus pendaftaran jadi sasaran kita capai 50 peratus merupakan satu pencapaian yang baik,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas hadir ke program pendaftaran Padu di Flat Sri Aman Seksyen 22, di sini hari ini.

Orang ramai tidak melepaskan peluang mendaftar dan mengemas kini sistem Pangkalan Data Utama (Padu) di Dewan Flat Sri Aman, Petaling Jaya pada 31 Mac 2024. Foto FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI

Mohd Uzir menambah pendaftaran di Selangor mencapai 40.1 peratus iaitu 1.69 juta daripada 4.24 juta penduduk 18 tahun ke atas.

“Perlis, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan telah mencecah 50 peratus pendaftaran, manakala Johor masih dalam lingkungan 40 peratus.

“Selepas tamat tempoh pendaftaran Padu malam ini, analisis maklumat akan dilakukan sebelum tindakan selanjut diambil,” katanya.

Tan Khian Hing

Warga emas, Tan Khian Hing, 81, berkata beliau sudah lama mengetahui mengenai sistem Padu namun tidak sempat mendaftar atas faktor ketidakupayaan fizikal dan kekangan masa.

“Hari ini saya hadir bersama rakan untuk daftar Padu. Saya tidak dapat melihat dengan jelas dan kurang mahir menggunakan teknologi walaupun saya ada cuba mendaftar dalam talian.

“Pendaftaran secara fizikal amat membantu saya dan prosesnya mudah. Saya harap lebih ramai lagi masyarakat mengambil peluang untuk daftar Padu sebelum berakhir malam ini,” katanya.

Normah Mohamad

Suri rumah, Normah Mohamad, 58, pula mengakui awalnya ragu-ragu dan risau untuk mendaftar Padu namun keyakinan beliau berubah setelah mendengar penerangan Mohd Uzir yang memberi jaminan ciri data peribadi pengguna terjamin.

“Pada mulanya saya risau untuk mengisi maklumat akaun bank namun setelah mendengar penjelasan dari ketua perangkawan pada program hari ini, saya yakin pendaftaran Padu akan membawa manfaat,” katanya.


Pengarang :