Petugas membuat persiapan pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Dengkil di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Sepang pada 31 Disember 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kampung Bukit Cherakah antara lokasi jualan murah ayam, beras pagi esok

SHAH ALAM, 24 MAC: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diadakan di tiga lokasi esok mulai 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Jualan barangan asas pada harga murah itu berlangsung di pejabat tanah dan daerah Sepang (Sungai Pelek), Kampung Bukit Cherakah (Ijok) dan dewan serbaguna Bukit C Kampung Cheras Baru (Teratai).

Hari ini jualan sama diadakan di gelanggang bola keranjang wawasan Puchong (Kinrara), pekarangan Masjid Kampung Pendamar (Pelabuhan Klang) dan pekarangan Surau Darul Hidayah Seksyen 7 (Kota Damansara).

Selain tiga lokasi tersebut, PKPS turut bekerjasama dengan Segi Fresh untuk mengadakan JER di pasar raya cawangan Taman Amaniah Batu Caves, Sri Muda, Jeram, Bandar Mahkota Banting dan Awani Bangi.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Jualan murah itu dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Pada tahun lalu, PKPS pernah menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER.

Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :