Wakil Lembaga Zakat Selangor menemui keluarga yang berteduh di pondok terbiar berhampiran longkang di Cheras Jaya. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Keluarga berteduh di pondok terbiar bersama bayi lima hari dibantu LZS

SHAH ALAM, 13 MAC: Sebuah keluarga yang berteduh di pondok terbiar berdekatan longkang di Cheras Jaya, diselamatkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) baru-baru ini.

Tindakan itu susulan aduan diterima daripada amil kariah Masjid Cheras Jaya berhubung keadaan daif keluarga yang turut mempunyai bayi perempuan berusia lima hari.

“Keluarga ini duduk di situ selama dua bulan dengan ruang tidur terlalu sempit dan tempat memasak di luar serta tiada bekalan elektrik dan air.

Keadaan rumah sebuah keluarga yang berteduh di pondok terbiar berhampiran longkang di Cheras Jaya sebelum diselamatkan Lembaga Zakat Selangor. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor

“Keluarga itu menggunakan air tadahan hujan sebagai sumber utama untuk minum dan mandi. Lebih menyayat hati keluarga ini baru sahaja menimang cahaya mata perempuan berusia lima hari.

“Dengan keadaan tempat yang panas serta pengudaraan kurang baik menyebabkan bayi itu kerap menangis kerana tidak selesa,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Menurut LZS ketua keluarga berkenaan yang berasal dari Sabah telah diberhentikan kerja empat bulan lalu manakala isterinya merupakan orang kelainan upaya (OKU) dan suri rumah.

Jelasnya lelaki terbabit yang bekerja kontrak sebelum ini tidak dapat mencari pekerjaan baharu berikutan tidak mempunyai kad pengenalan dan hanya memiliki sijil kelahiran yang sah.

Keadaan rumah sebuah keluarga yang berteduh di pondok terbiar berhampiran longkang di Cheras Jaya sebelum diselamatkan Lembaga Zakat Selangor. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor

“Tindakan segera amil kariah Cheras Jaya setelah berbincang dengan LZS adalah menempatkan keluarga ini di rumah inap desa untuk sementara waktu bagi proses mencari rumah sewa baharu.

“LZS diwakili Ketua Operasi Agihan Daerah Hulu Langat turun menyantuni asnaf tersebut dan memberi sumbangan berbentuk wang tunai untuk perbelanjaan makan minum dan kelengkapan bayi,” katanya.

LZS menambah wanita OKU itu didaftar dan layak dikategorikan sebagai asnaf fakir selain permohonannya akan diproses bagi menerima bantuan kewangan bulanan, sewa rumah dan makanan bulanan.

“Alhamdulillah dengan manfaat agihan zakat ini dapat mengurangkan sedikit beban dan memberi sinar kebahagiaan kepada pemohon dan keluarga dalam menyambut Ramadan yang mulia ini,” katanya.

Sumbangan zakat boleh terus dilaksanakan menerusi pautan berikut https://fpx.zakatselangor.com.my/


Pengarang :