Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis menandatangani memorandum persefahaman bagi meneroka pembangunan berkaitan projek tenaga di Selangor di Pusat Konvensyen Tan Sri Leo Moggie, TNB Bangsar pada 5 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kemajuan ekonomi negeri seiring usaha lestari alam sekitar, bangun teknologi hijau

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Selangor komited membangunkan sistem tenaga lebih mampan dan berdaya tahan seiring keperluan serta cabaran masa depan.

Dato’ Menteri Besar berkata pembangunan teknologi tenaga hijau dan kelestarian alam antara yang ditekankan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

“Apabila saya melancarkan RS-1, selain memberikan fokus terhadap pembangunan ekonomi, program pemberdayaan rakyat serta meningkatkan keberkesanan sistem perkhidmatan Kerajaan, perkara lain iaitu pengkhususan kepada aspek kelestarian turut diberi tumpuan.

“Kelestarian ini bukan saja terbatas kepada jumlah pokok yang dipelihara atau ingin ditanam di sesuatu kawasan tetapi kita harus melihat kepada perspektif keseluruhan aspek kelestarian dan kemampanan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri, Worldwide Holdings Berhad dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi meneroka pembangunan berkaitan projek tenaga di Selangor di sini, hari ini.

Amirudin menjelaskan menurut Jabatan Perangkaan penduduk Selangor sudah mencecah tujuh juta bersamaan hampir 22 peratus penduduk seluruh negara.

“Dengan kepadatan penduduk skala ini kita harus memikirkan beberapa aspek apabila berbicara tentang kelestarian iaitu mewujudkan persekitaran yang kondusif terutama di bandar-bandar matang.

“Selain itu memastikan keperluan tenaga mencukupi bukan saja pada hari ini tetapi dengan membuat unjuran jangka masa panjang.

“Kerajaan Negeri mengambil serius aspek (penjanaan) tenaga sehingga memberikan pengkhususan kepada anak syarikat seperti Worldwide Holdings Berhad untuk beralih kepada ekonomi tenaga yang mampan dengan membina loji jana kuasa,” katanya.

Terdahulu Fadillah dan Amirudin menyaksikan majlis pemeteraian MoU antara Kerajaan Negeri, Worldwide Holdings Berhad dan TNB bagi meneroka pembangunan berkaitan projek tenaga di Selangor.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) bersama Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga dari kiri) bergambar ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman bagi meneroka pembangunan berkaitan projek tenaga antara Kerajaan Negeri, Tenaga Nasional Berhad dan Worldwide Holdings Berhad di Pusat Konvensyen Tan Sri Leo Moggie, TNB Bangsar ada 5 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pengarang :