EXCO Perumahan Borhan Aman Shah berucap ketika majlis penyampaian kunci Rumah Selangorku Pangsapuri Aurora, Saujana Permai pada 25 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tawar kediaman selesa, negeri sasar bina lebih 200,000 unit rumah mampu milik

SHAH ALAM, 6 MAC: Kerajaan Negeri menyasarkan membina lebih 200,000 unit Rumah Selangorku menjelang 2029, kata EXCO perumahan.

Borhan Aman Shah berkata untuk tahun ini, sebanyak 40,951 unit dijangka dilancar manakala 17,225 unit sedang dalam pembinaan sekali gus membantu lebih ramai rakyat memiliki kediaman selesa.

“Pembinaan sekarang sebanyak 17,225 unit dan diikuti lebih 12,000 dalam masa terdekat. Pengakhiran pada penghujung tahun ini kita sasar capai 40,951 unit. Ini matlamat negeri untuk menyediakan rumah mampu milik.

“Kita ada dasar Rumah Selangorku dan Rumah Idaman yang mahu memberi keselesaan kepada pemaju serta pemilik,” katanya menjawab soalan wakil rakyat Permatang Nurul Syazwani Noh pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Tambah Borhan, Kerajaan Negeri menyediakan tujuh inisiatif perumahan melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor antaranya Rumah Selangorku, Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik, Skim Smart Sewa dan Skim Ceria.

“Untuk golongan muda berusia 35 tahun ke bawah, sebanyak 65,067 permohonan diterima bagi inisiatif Rumah Selangorku dan Skim Smart Sewa pula 769 pemohon.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan pembangunan projek perumahan oleh pemaju-pemaju perumahan. Setakat ini, dua projek telah diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) babit 347 unit,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dasar perumahan mampu milik dilaksana bagi memastikan setiap rakyat memiliki kediaman selesa dan selamat.


Pengarang :