EXCO Perumahan Borhan Aman Shah menyampaikan replika kunci Rumah Selangorku Pangsapuri Aurora, Saujana Permai kepada Muhammad Saidi Ibrahim, 34 pada 25 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Rumah Selangorku sedia pelbagai kemudahan, pembeli gembira, puas hati

SHAH ALAM, 26 NOV: Suami isteri gembira kerana tidak perlu menunggu lama bagi memiliki kediaman sendiri di Rumah Selangorku Pangsapuri Aurora di Saujana Permai, Seksyen U17 di sini.

Yap Lian Yuan, 32, dan isteri Woo Soon Yee, 30, tidak menyangka permohonan mereka diluluskan selepas beberapa bulan ‘mencuba nasib’ di laman sesawang Rumah Selangorku pada 2018.

Yap Lian Yuan, 32, dan isteri Woo Soon Yee, 30 ketika majlis penyampaian kunci Rumah Selangorku Pangsapuri Aurora, Saujana Permai pada 25 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Lian Yuan yang bekerja sebagai akauntan berkata, hasrat untuk memiliki rumah sendiri merupakan impian mereka sebaik mendirikan rumah tangga tahun lalu.

“Mula-mula saya hanya mencuba nasib isi borang di laman sesawang pada 2018. Tidak lama kemudian saya terima emel yang memaklumkan saya ditawarkan kediaman di Shah Alam.

EXCO Perumahan Borhan Aman Shah menanam pokok di perkarangan Rumah Selangorku Pangsapuri Aurora, Saujana Permai sebagai simbolik selepas menyampaikan replika kunci kepada penerima pada 25 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya dan isteri terus terima kerana rumah ini tidak jauh dan ada pelbagai kemudahan. Harganya juga murah berbanding kediaman yang dijual di pasaran sekarang,” katanya kepada Selangorkini.

Terdahulu beliau menerima replika kunci yang disampaikan EXCO Perumahan Borhan Aman Shah dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Johawaki Mohamad Akmal Johari.

Sementara itu, Muhammad Saidi Ibrahim, 34, berpuas hati dengan pelbagai kemudahan yang disediakan pemaju meski kediaman terbabit dijual pada harga rendah.

Muhammad Saidi Ibrahim, 34 ditemui pada majlis penyampaian kunci Rumah Selangorku Pangsapuri Aurora, Saujana Permai pada 25 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya sangat berpuas hati dengan rumah ini. Ia luas dan ada pelbagai kemudahan yang setara dengan kediaman pangsapuri baharu lain. Pada saya, ia amat berbaloi,” kata kakitangan swasta ini.

Rumah Selangorku Pangsapuri Aurora di Saujana Permai menawarkan 90 unit kediaman berkeluasan 1,001 kaki persegi pada harga hanya RM185,000 seunit.

Kediaman yang mempunyai tiga bilik, dua tandas dan dua ruang parkir itu dibangunkan pemaju Johawaki Development Sdn Bhd (JDSB) di atas tanah berkeluasan 2.86 ekar.

Perumahan kepadatan rendah setinggi lima tingkat itu turut dilengkapi dengan kemudahan lif, dewan serbaguna, tadika, taman permainan, pondok pengawal dan pejabat pengurusan.

Ruang dalaman Rumah Selangorku Pangsapuri Aurora, Saujana Permai pada 25 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :