BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Cerita raya takuk lama, Aziz M Osman saran fikir luar kotak

Oleh FARIDZWAN ABDUL GHAFAR

Drama dan filem balik kampung, konflik orang tua, kesedihan si miskin dan kisah seram masih menjadi latar filem dan drama Aidilfitri sejak beberapa dekad lalu hingga hari ini.

Tanpa disedari, cerita diulang saban tahun menghantar mesej bahawa karya orang Melayu-Islam sempena musim perayaan sebenarnya masih pada takuk lama.

Ia menampakkan penggiat industri seni tanah air tidak berfikir di luar kotak bagi menghasilkan naskhah Aidilfitri yang unik dan malar segar.

Karya Aidilfitri tidak bermaya setiap kali perayaan mendapat teguran daripada pengarah sohor Aziz M Osman. Menyifatkan ia sebagai perangkap, karyawan harus berani keluar daripada kebiasaan menghasilkan naskhah bertema lebaran.

Pengarah Aziz M Osman ketika ditemu ramah di Bukit Jelutong pada 21 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Penggiat filem dan drama kita masih lagi terperangkap dalam stigma kalau berkarya untuk raya mesti cerita hantu, balik kampung atau cerita sedih sudah lama tidak jumpa emak ayah.

“Saya mengarah sejak 1986 dan sehingga 2024. Hampir 40 tahun karya tema raya di Malaysia masih menceritakan hal-hal seperti itu,” katanya ketika ditemui Selangorkini di Shah Alam pada 21 Mac.

Membandingkan filem negara Asia lain bertema perayaan seperti di Indonesia, Thailand dan Korea Selatan, anak pasangan penyanyi pop yeh yeh M Osman dan pelakon Afidah Es mengakui industri seni tanah air masih ketinggalan.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan kurangnya bilangan penulis cerita atau penglipurlara yang berbakat dalam industri perfileman dan televisyen negara.

Buktinya setiap kali Aidilfitri, akan ada saluran televisyen mengulang tayang filem atau drama raya lama, malah pada satu tahap pernah menyiarkan filem Bollywood pada awal Syawal.

Aziz pernah keluar daripada stigma itu ketika mengarahkan filem Lagi-Lagi Senario pada 2000. Dalam penceritaan filem itu, ia mengisahkan persaingan dua peniaga Melayu.

Plotnya disulam dengan paparan sifat dengki dalam watak antagonis filem berkenaan sambil dilatari dengan suasana puasa dan lebaran.

Adun watak

“Itu percubaan saya untuk cuba lari stigma dan saya rasa itu pertaruhan berbaloi. Lagi-Lagi Senario berjaya di pasaran dan menjadi antara filem komedi raya yang diingati sampai hari ini.

“Tema sebenar Lagi-Lagi Senario ialah mengenai persaingan perniagaan tetapi saya memakai latar bulan puasa dan perayaan Aidilfitri,” katanya.

Kagum dengan kebijaksanaan Allahyarham Mamat Khalid, Aziz berpandangan pengarah itu bijak mengadun gelagat watak-watak Kampung Pisang dalam drama komedi bersiri 16 Puasa dan Kampung Pisang Muzikal Raya.

Memegang karakter Pak Jabit, Aziz melihat drama lakonannya itu bertema ringkas iaitu orang tidak berpuasa namun berupaya menarik peminat kerana Mamat Khalid sudah membentuk jalinan antara penonton dengan watak-watak berkenaan daripada karya terdahulu.

“Siri drama komedi 16 Puasa dan Kampung Pisang Bersiri-Siri istimewa kerana ia semacam sudah ada hubungan mesra antara watak-watak dalam Kampung Pisang dengan penonton.

“Orang merasakan apabila menonton watak-watak itu umpama macam berjumpa kawan lama, dan ia hanya ada bulan puasa sahaja. Itu keunikan Mamat Khalid,” katanya.

Pada Aziz, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) boleh membantu mewujudkan dana khas bagi menggalakkan untuk filem atau drama sempena perayaan bermutu tinggi dihasilkan.

Hujahnya, karya bertema perayaan merakam cara hidup dan budaya rakyat Malaysia meraikan kepercayaan masing-masing. Boleh menjadi aset warisan negara, ia menjadi rujukan banyak pihak yang mahu melihat wajah Malaysia.

Dalam pada itu, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Asia Pasifik 1977 turut mengingatkan penggiat seni supaya bijak menyesuaikan diri dengan perkembangan zaman semasa supaya kekal relevan.

Bercerita mengenai citarasa penonton mutakhir ini, Aziz mendapati teknologi kecerdasan buatan, penggunaan media sosial seperti TikTok yang meluas, membentuk demografi penonton pelbagai.

Malah perkembangan teknologi itu menjadikan mereka lebih memilih untuk menonton karya yang dihidangkan. Ia juga melahirkan karyawan generasi baharu atau kini lebih dikenali pencipta kandungan.

Namun, beliau terkilan kerana ada segelintir pencipta kandungan media sosial sanggup menepikan nilai-nilai murni semata-mata mahu menaikkan bilangan pengikut.

 

 


Pengarang :