DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berswafoto ketika menyertai gotong-royong bersama rakyat di Alor Lempah, Ampang Pechah sempena program Ekplorasi Gagasan Rumpun Selangor peringkat daerah Hulu Selangor 2024 di Kuala Kubu Bharu pada 23 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Gagasan Rumpun Selangor peringkat Hulu Langat mulai 24 April

SHAH ALAM, 19 APRIL: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dijadual berangkat ke program Gagasan Rumpun Selangor peringkat daerah Hulu Langat mulai 24 April.

Berlangsung selama tiga hari, Baginda akan bertemu rakyat di beberapa lokasi tumpuan seperti Warung Roti Canai Teras Jernang, Kajang Wall Mural, Medan Sate Kajang dan Bangi Square 2.

Baginda juga dijadual berkunjung ke Pasar Malam Downtown Jalan Reko, Laman Medan Selera Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Masjid Al-Ubudiah Kampung Tasek Tambahan, Ampang.

Lawatan Raja Muda Selangor diteruskan ke Pejabat Daerah Tanah Hulu Langat, Pusat Permata Pintar, Rumah Pengasih Warga Prihatin di Sungai Ramal dan Kilang Pemprosesan Sate Kajang Haji Samuri.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tengah) berkenan mencuba aktiviti menyumpit pada Program Ekplorasi Gagasan Rumpun Selangor peringkat daerah Hulu Selangor 2024 di kampung Orang Asli Ulu Tamu di Kuala Kubu Bharu pada 21 Februari 2024. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Kawasan lain termasuk Denai Sungai Langat, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Muda, Empangan Semenyih, Masjid Rinching Hulu Beranang dan Institusi Perindustrian Mara Jepun (MJII).

Selain itu, Baginda turut dijadual melawat Projek Agro Bandar Melon ACE Pandan Jaya dan Pusat Anaerobic Digester MPAJ selain menyertai aktiviti menarik di setiap lokasi.

Orang ramai dialu-alukan menghadiri program berkenaan sehingga 26 April untuk menyertai aktiviti klinik bola sepak bersama Selangor FC, persembahan silat, rewang dan santapan kenduri.

Gagasan Rumpun Selangor diperkenal bagi memperkukuh semangat perpaduan meliputi enam agenda utama iaitu karnival dan eksplorasi, dasar, lagu perpaduan serta pemerkasaan kepimpinan kampung.

Dalam belanjawan negeri tahun ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM4.5 juta bagi menjayakan program tersebut di sembilan daerah.


Pengarang :