Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan orang ramai yang menyambut ketibaannya di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 19 April 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM: Tekad noktah kemiskinan tegar, tangani isu kewarganegaraan di Sabah

KOTA KINABALU, 20 APRIL: Menoktahkan kemiskinan tegar dan isu kewarganegaraan di Sabah adalah antara inti pati utama yang dibincangkan bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sabah di sini hari ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Presiden KEADILAN berkata MPN KEADILAN Sabah telah mengutarakan kepentingan memesatkan usaha menoktahkan kemiskinan tegar di negeri itu, selain turut menyatakan cadangan untuk mendepani perkara berkenaan.

Turut dibincangkan ialah kepentingan mengukuhkan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri bagi mengatasi isu kewarganegaraan di Sabah, terutama melibatkan penduduk yang masih tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, kata beliau.

“Tentunya (mengatasi isu kewarganegaraan) mengikut syarat telah ditentukan negara kita. Saya terharu apabila nampak fokus itu ada (untuk mengatasi) masalah kemiskinan dan tidak ada kartu (dokumen) yang sah,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan khas dengan MPN KEADILAN Sabah di sini yang turut dihadiri Ketua Wanitanya Fadhlina Sidek juga Menteri Pendidikan, Ketua Penerangannya Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi, dan Pengerusi MPN KEADILAN Sabah Datuk Dr Sangkar Rasam.

Turut hadir, 26 Ketua Cabang KEADILAN Sabah antaranya Ketua Cabang Kota Belud Datuk Mustapha Sakmud merangkap Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan Ketua Cabang Kota Kinabalu Datuk Christina Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Anwar berkata MPN KEADILAN Sabah turut memberikan pandangan berkenaan dengan isu kepimpinan majlis itu dan sebarang keputusan berkaitan isu terbabit akan dibuat setelah perbincangan bersama kepimpinan di peringkat pusat.

“(Kita) berunding dengan ketua cabang (di Sabah) … mereka beri pandangan kepada saya untuk pertimbangan (dan) kita akan rujuk kepimpinan pusat. Kepimpinan pusat akan berunding dan buat keputusan,” kata beliau.

Ditanya tentang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, Anwar berkata perbincangan turut melibatkan persiapan menghadapi pilihan raya berkenaan di peringkat akar umbi dan ranting parti itu, namun tidak mengulas lanjut.

– BERNAMA


Pengarang :