Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama delegasi Selangor ketika melawat Siemens Mobility Rail Service Center di Cologne, Jerman pada 19 April 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Negeri teroka potensi teknologi terkini rel di Jerman, realisasi Rel Kita Selangor

SHAH ALAM, 20 APRIL: Kerajaan Negeri meneroka potensi teknologi terkini perkhidmatan rel menerusi lawatan ke Siemens Mobility Rail Service Center di Jerman, semalam.

Dato’ Menteri Besar memaklumkan lawatan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri ke arah merealisasikan Rel Kita Selangor yang diumum sebagai manifesto pada pilihan raya lalu.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari delegasi Selangor diberi penerangan berhubung operasi Siemens Mobility yang menyedia dan memiliki pelbagai kemudahan canggih selain mengamalkan prinsip hijau.

“Delegasi Selangor diberi penerangan tentang ketersediaan Siemens Mobility dalam bidang rel yang memiliki 5.5 km rel di Dortmund-Eving (sebuah bandaraya di Jerman).

“Mereka turut membina bengkel enam landasan, gudang tiga tingkat dan fasiliti pembersihan keretapi. Semua proses penyelenggaraan ini beroperasi 100 peratus tanpa menggunakan kertas,” kongsinya di Facebook.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama delegasi Selangor ketika melawat Siemens Mobility Rail Service Center di Cologne, Jerman pada 19 April 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Amirudin menjelaskan hasil lawatan itu tidak hanya terbatas menerusi pertukaran kepakaran malah bagi memenuhi keperluan Selangor dalam bidang penyelidikan, pendidikan, perkhidmatan dan teknologi.

Beliau juga yakin dapat membawa masuk teknologi dan kepakaran untuk membangunkan automasi selaras era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) menerusi hubungan baik dengan Siemens Mobility.

“Insya-Allah saya juga akan bertemu delegasi Siemens yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) mereka bagi meneroka peluang kerjasama dan potensi pelaburan Siemens di Selangor,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) dan delegasi Selangor diberi taklimat oleh Ketua Pemasaran Perkhidmatan Digital Siemens Mobility, Gerhard Paal (kanan) pada majlis lawatan ke Siemens Mobility Rail Service Center di Cologne, Jerman pada 19 April 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 lalu, Amirudin mengumumkan pembangunan Jajaran Rel Kita Selangor di pantai barat negeri yang akan bermula dengan kajian kebolehlaksanaan dengan peruntukan RM3 juta.

Menurutnya jaringan kereta api itu akan bermula dari Klang ke Kuala Selangor, Tanjong Karang, dan Sabak Bernam selain meneroka potensi jajaran sedia ada yang belum dibina iaitu dari Kuang ke Kuala Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) menerima cenderamata daripada Ketua Pemasaran Perkhidmatan Digital Siemens Mobility, Gerhard Paal (tiga, kanan) pada majlis lawatan ke Siemens Mobility Rail Service Center di Cologne, Jerman pada 19 April 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

 

 


Pengarang :