Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao pada majlis pengumuman calon di Pusat Khidmat DUN Kuala Kubu Bharu pada 24 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Pembangkang jangan berangan, data tunjuk Kuala Kubu Baharu kekal HARAPAN

HULU SELANGOR, 25 APRIL: Data menunjukkan Kerajaan Perpaduan lebih kuat dan terus mempertahankan kerusi Kuala Kubu Bharu pada pilihan raya kecil 11 Mei depan.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri berkata gabungan lima parti politik itu bertanding atas nama Kerajaan Perpaduan yang akan memastikan kestabilan, kemakmuran dan kemajuan rakyat.

“Sebelum bermula tarikh pilihan raya, lawan kita sudah mengemukakan persepsi. Ada yg kata nak kuburkan bersama, ada yang kata nak dapat 4-0.

“Dari segi angka, data dan maklumat yang kita terima, dan kalau berpandukan keputusan pilihan raya lepas, saya nak bagitahu musuh, jangan berangan lebih sangat. Ikut keputusan lepas, kita berjaya menang dan rampas semula Parlimen Hulu Selangor.

“Walaupun ada berbeza pandangan dan pendekatan tetapi kali ini kerajaan datang dengan lebih kuat. Sebab itu, kita tampil hari ini dengan rekod, rekod yang kita berbakti dan berkhidmat kepada rakyat tanpa memilih latar belakang,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berucap di hadapan lebih 1,000 hadirin pada majlis pengumuman calon Kerajaan Perpaduan di pekarangan Pusat Khidmat DUN Kuala Kubu Bharu di sini, malam tadi.

Dalam majlis berkenaan, Pang Sock Tao, 31, yang mewakili DAP diumumkan sebagai calon PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan.

Sementara itu, Amirudin menitipkan penghargaan kepada rakan komponen parti dalam Kerajaan Perpaduan yang bersedia mencairkan pendirian masing-masing demi kestabilan politik.

“Semua pihak perlu bersatu dan melakukan pengorbanan selain mengumpul kekuatan untuk memajukan negara. Saya ucapkan tahniah kepada rakan Barisan Nasional yang awal-awal sebut tiada pertarungan rebut kerusi,” katanya.


Pengarang :