Siti Nur Mas Erah Amran, 40, bersama ibu dan kakaknya menyambut Aidilfitri 2024 di Turkiye selama sebulan. Foto SITI NUR MAS ERAH AMRAN
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

‘Pulang’ ke negara orang tiap Syawal, samping disangka skirt

Menjadi tradisi acapkali lebaran, pasti umat Islam yang dalam perantauan pulang ke kampung halaman bertemu orang tua dan saudara-mara.

Mereka sanggup menempuh kesesakan lalu lintas berbelas jam bagi meraikan hari kemenangan bersama keluarga tercinta selepas sebulan berpuasa.

Namun, ada juga dalam kalangan orang Melayu-Islam memilih menyambut Aidilfitri melancong ke negara luar.

Begitulah bagi keluarga Siti Nur Mas Erah Amran. Rayanya tidak disambut dengan pulang ke desa dan makan rendang serta ketupat bersama saudara-mara, setiap kali Aidilfitri, mereka melancong.

Kata wanita berusia 40 tahun itu, melancong ketika Aidilfitri menyeronokkan. Jalan tidak sesak. Tempahan hotel juga banyak. Sekali gus tidak memeningkan kepala.

Berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang, Siti Nur Mas Erah bersama ibu dan kakaknya kerap bercuti bersama selepas bapanya meninggal dunia 19 tahun lalu.

“Sebelum ini kami ke Melaka, Pahang dan Kuala Lumpur. Mungkin ada yang ingat kedai banyak tutup sewaktu perayaan kan? Sebenarnya ada saja kedai dibuka.

“Kami bertiga amat menyukai suasana tenang pada waktu berkenaan, nak bergerak ke mana-mana pun tidak sesak,” katanya kepada Selangorkini pada 28 Mac.

Hobi penulis sampingan itu melancong sendirian (bagpackers). Pernah ke Sri Lanka, Jepun, Indonesia, India, Jerman, Paris dan Itali.

Disebabkan itu, beliau mula mencabar diri. Dua tahun lalu, beliau memasang niat untuk merasai pengalaman menyambut Aidilfitri di negara asing. Ibunya yang berusia 80 tahun tidak membantah.

“Beberapa bulan sebelum Syawal saya sengaja cari tiket penerbangan murah. Pada waktu itu tiket ke Turkiye agak murah berbanding biasa.

“Ibu setuju, kakak saya pun sama. Kami putuskan untuk berhari raya di sana. Tapi sayangnya lupa pula memakai baju raya, rugi betul,” luahnya.

Menceritakan suasana Aidilfitri di Turkiye, katanya suasana raya disambut sederhana. Tidak seperti di Malaysia.

Bezanya di sana rakyatnya kerap menyapa ‘Eid Mubarak’ ketika bertembung di jalanan. Malah peniaga makanan lebih suka berbelanja manisan.

“Jika kami masuk saja restoran, mesti mereka belanja manisan antaranya baklava, kunafa, halwa dan macam-macam lagi”.

Tidak dinafikan, ada waktu hatinya rindu bila terkenang juadah enak di pagi Aidilfitri. Lemang, ketupat, rendang, kuah kacang dan pelbagai kuih-muih begitu menggamitnya.

Taj Mahal di India antara lokasi tumpuan dari seluruh dunia.

Baginya, Syawal sudah cukup bermakna apabila masih bersama keluarga. Makanan dan pakaian baharu sekadar syarat perayaan.

“Lagipun raya tempoh sebulan, kadangkala Syawal ke-15 barulah kami bertemu sanak saudara,” katanya lagi.

Terkenangkan memori di Turkiye dua tahun lalu, keluarga Siti Nur Mas Erah sekali lagi ke negara itu pada Aidilfitri tahun ini. Kali ini beliau dan keluarga berkampung di sana selama sebulan.

Bertolak pada 8 April, graduan Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka itu menjelajah lebih banyak daerah di republik berkenaan berbanding dua tahun sebelumnya.

Sebelum ini, beliau hanya sempat ke Istanbul, Bursa dan Izmir. Lebaran tahun ini mereka menjelajah ke Eskisehir, Ankara, Konya, Antalya dan Edirne.

Tidak mahu menyesal seperti sebelumnya, kali ini Siti Nur Mas Erah sekeluarga siap sedia dengan beberapa pakaian baharu. Niatnya mahu merakam kenangan Aidilfitri lebih manis di republik diasaskan Mustafa Kemal Ataturk itu.

 

Sembuh duka

 

Rozani Abd Shukor Heng juga kerap berhari raya di negara asing. Namun, tidak seperti Siti Nur Mas Erah yang bercuti dengan keluarga. Wanita berusia 36 tahun itu melancong sendirian.

Tabiat itu bermula sejak 2014, setelah berpisah dengan suami.

Beliau hanya mahu membawa diri dan menyembuhkan duka di hati.

Pernah beraya di Jepun, Oman dan Madinah di Arab Saudi, wanita itu yang lebih mesra dipanggil Roza kagum dengan adat dan budaya sambutan Aidilfitri di negara berkenaan.

Jika negara Islam, suasananya Aidilfitri masih terasa. Namun negara bukan Islam seperti Jepun amat berbeza. Suasana Aidilfitri hanya terasa bila bertemu rakan senegara.

“Jika pakai samping pun, orang di sana ingat kita pakai skirt. Tanya mereka kenapa skirt berwarna-warni? Kami hanya mampu ketawa. Kalau perempuan yang pakai baju kurung tidak apa, sebab sudah biasa.

“Cuma, pada hari itulah ramai orang asing cuba bergambar dengan kita jika pakai baju kurung ataupun kebaya. Mereka kata cantik,” katanya.

Wanita kelahiran Pulau Pinang itu juga tidak ralat jika tiada menu raya lengkap. Biasanya sebahagian makanan sudah dibungkus rapi dibawa sebelum berangkat ke negara asing.

Namun jika inginkan kemeriahan, Roza biasanya ke pejabat kedutaan. Di situlah suasana sambutan Aidilfitri lebih meriah.

Bekerja sebagai pemandu pelancong peribadi juga membolehkan beliau ke luar negara lebih kerap dan selalu bertemu pelanggan yang melancong ketika Syawal.

Jelas Roza, rata-ratanya mengakui harga tiket penerbangan ke negara bukan Islam akan jatuh ketika musim Aidilfitri. Susulan permintaan kurang berbanding bulan lain.

Rozani Abd Shukor Heng, 36, menyambut hari raya 2024 di Kobe, Jepun selama 14 hari bagi menyaksikan keunikan serta melihat masyarakat Islam di negara itu meraikan Aidilfitri. Foto ROZANI ABD SHUKOR HENG

“Biasanya yang melancong ini kerana tiada keluarga terdekat. Seperti sudah tiada ibu ayah. Kerana mahu mencari bahagia, mereka melancong untuk gembirakan hati,” katanya lagi.

Tahun ini Roza memilih Kobe, Jepun sebagai destinasi berehat sambil menyambut hari raya pertama di negara itu.

Tinggal di sana selama 14 hari, niatnya mahu menyaksikan keunikan dan masyarakat Islam di situ meraikan perayaan berkenaan.

Rozani Abd Shukor Heng, 36, menyambut hari raya di pelbagai negara seperti Jepun, Oman dan Arab Saudi untuk melihat budaya sambutan Aidilfitri di negara berkenaan. Foto ROZANI ABD SHUKOR HENG

Pengarang :