BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANRENCANAWAWANCARA

Ihya Ulumuddin cakupi 40 topik, Imam al-Ghazali bentuk cara fikir umat

Dianggap karya teragung Imam al-Ghazali, Ihya Ulumuddin yang dikarang pada abad ke-12 masih memberi dampak besar pada kehidupan muslim sedunia sehingga kini.

Merangkumi 40 topik utama, adikarya itu diterjemah kepada bahasa Melayu dengan pembiayaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menerusi projek Siri Warisan Islami Selangor.

Dijangka selesai sepenuhnya dalam dua tahun lagi, lima daripada 20 jilid terjemahan Ihya Ulumuddin akan dijual di Festival Turath Islami Selangor 2024 antara 26 Mei hingga 2 Jun ini.

Diterjemah menjelang festival turath 2023, kitab berkenaan dihasilkan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), penerbit lebih 70 karya penting dunia, termasuk enam kitab lain Imam al-Ghazali.

Penterjemah kitab ulama ulung itu Zahid M Naser dan Hilmi Marjunit, dua lulusan usuluddin universiti di Asia Barat, menjelaskan kepada Selangorkini pada 10 Mei isi-isi penting jilid pertama hingga kelima karya berkenaan.

Jilid 1 – Kitab Ilmu

Hilmi: Bagi jilid pertama, ada dua perkara yang sangat memberi kesan terhadap diri saya. Pertama, al-Ghazali membuatkan pembaca ingin menghayati al-Quran kerana inilah tunjang utama ilmu bagi umat Islam dan seterusnya beliau turut membawakan kisah tentang penghayatan ulama terdahulu terhadap al-Quran dalam kehidupan mereka serta cara al-Quran membentuk cara berfikir mereka.

Zahid: Dalam jilid pertama terjemahan ini, al-Ghazali memberikan kompas kepada pembaca bagaimana menanggapi ilmu pengetahuan. Beliau banyak membahaskan epistemologi ilmu, dan beberapa isu mengenainya sekali gus menjawab persoalan berbangkit.

Jilid 2 – Kitab Asas Akidah

Hilmi: Jilid ini mengandungi Kitab Asas Akidah, iaitu menerangkan iktikad penting yang wajib diyakini umat Islam secara ringkas dan tuntas. Dalam kitab ini, Imam al-Ghazali turut menjelaskan beberapa tingkatan akidah berdasarkan tahap pemahaman umat dan kaedah pengajarannya agar dapat dicerap dan terpasak kukuh di dada setiap muslim.

Zahid: Ya, ia mengandungi perbahasan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan iktikad-iktikad penting muslim berkenaan ketuhanan (ilahiyyat), kenabian (nubuwat) dan perkara ghaib iaitu sami’yyat.

Jilid 3 – Kitab Hikmah Bersuci dan Sembahyang

Hilmi: Jilid ketiga ini terkandung Kitab Hikmah Bersuci dan Kitab Hikmah Sembahyang. Menerusinya ia menjelaskan kepentingan dan wajibnya menyucikan diri sebagai lanjutan daripada kemurnian akal dan jiwa sebelumnya.

Dalam kitab ini, Imam al-Ghazali menerangkan keperluan untuk membersihkan. Kerana ia syarat bagi mendirikan sembahyang kerana sembahyang merupakan ibadah pertama yang akan dihitung pada hari akhirat kelak.

Zahid: Menariknya tentang jilid ketiga ini ia membincangkan perbahasan mengenai ibadah kita. Berkait tatacara menyucikan diri daripada najis dan tertib mengangkat hadas. Kupasan tentang adab yang zahir dan batin berkenaan perkara ini juga turut dibentangkan. Selepas itu, perbahasan mengenai sembahyang pula dibentangkan, di sini persoalan tentang ikhlas dan khusyuk dikupas pengarang secara terperinci.

Jilid 4 – Kitab Hikmah Zakat, Puasa dan Haji

Hilmi: Mengandungi Kitab Hikmah Zakat, Kitab Hikmah Puasa dan Kitab Hikmah Haji. Pembaca boleh tahu mengenai penjelasan perkara-perkara zahir ibadah iaitu rukun, syarat wajib, syarat sah dan lain-lain.

Bagaimanapun, Imam al-Ghazali turut membawakan kelainan dengan memperincikan secara tuntas amalan-amalan hati yang perlu dilakukan ketika melaksanakan tiga rukun Islam tersebut. Petua dalam kitab ini juga bukan sahaja dapat menjadi panduan beribadah bahkan menjadi pedoman untuk mencapai keikhlasan sempurna.

Zahid:Pembaca boleh mengetahui tentang perbahasan fekah dalam jilid ini, mengenai tiga rukun Islam dan tertib-tertib melaksanakannya. Juga perbahasan mengenai hikmah dan rahsia daripada perincian setiap gerak perbuatan ketiga-tiga ibadah itu.

Jilid 5 – Kitab Adab Membaca al-Quran, Zikir dan Wirid Harian

Hilmi: Dalam jilid ini, ada Kitab Adab Membaca al-Quran, Kitab Zikir dan Kitab Wirid Harian. Menerusinya ia jelaskan kedudukan al-Quran, zikir dan doa selaku ibadah lisan serta adab-adab mengerjakannya. Al-Ghazali turut mengajarkan para pembaca tentang beberapa doa yang warid dalam al-Quran dan daripada Rasulullah SAW. Juga para sahabat dan para tabiin agar kepelbagaian doa ini dapat mengelakkan seseorang daripada dirundung rasa bosan dalam berdoa.

Sementara itu, wirid harian yang dimaksudkan dalam Ihya Ulumuddin pula merujuk kepada jadual ibadah harian yang meliputi ibadah mana-mana anggota badan termasuklah lisan.

Memandangkan keadaan dan kelapangan masa setiap individu berbeza, maka Imam al-Ghazali membahagikan manusia yang ingin menelusuri jalan akhirat kepada enam golongan utama agar semua orang berpeluang mendekatkan diri kepada Allah dengan pelbagai cara.

Zahid:Jilid terakhir ini mengandungi perbahasan berkaitan adab membaca al-Quran, zikir yang menjadi amalan generasi salaf dan perincian mengenai wirid (rutin) amalan pada siang hari dan pada waktu malam.

 


Pengarang :