Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membantu orang ramai bagi menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu di Sekolah Rendah Agama Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor pada 11 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jentera kempen Kerajaan Perpaduan berhemah, ikut peraturan

HULU SELANGOR, 12 MEI: Jentera Kerajaan Perpaduan menjalankan kempen penuh hemah sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jentera juga menjayakan kempen secara berkesan mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Kita yakin telah jalani kempen secara berhemah yang tidak memerlukan mengguna caci maki dan fitnah seperti dilakukan pihak lawan untuk mengelirukan pengundi,” katanya pada sidang media di pejabat Umno Hulu Selangor malam tadi.

Calon Pakatan harapan (HARAPAN) Pang Sock Tao mengangkat tangan kepada media selepas diisytihar memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu di Bilik Gerakan Kerajaan Perpaduan Selangor, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 11 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang Perikatan Nasional (PN) akan mengemukakan petisyen pilihan raya jika HARAPAN menang PRK Kuala Kubu Bharu, Amirudin menyifatkan ia hak gabungan itu berbuat demikian mengikut akta pilihan raya.

“Itu petanda mereka menyedari akan tewas dalam PRK. Dalam akta pilihan raya, petisyen merupakan kaedah untuk menyemak keputusan pilihan raya. Itu hak mereka membuat bantahan,” katanya.

HARAPAN berjaya mempertahankan kerusi DUN berkenaan selepas calonnya Pang Sock Tao memenangi pilihan raya kecil dengan majoriti 3,869 undi.

Sock Tao memperoleh 14,000 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional Khairul Azhari Saut (10,131 undi), calon Bebas Nyau Ke Xin (188 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia Hafizah Zainuddin (152 undi).

Kira-kira 60 peratus daripada 39,362 pengundi menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu selepas kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

 


Pengarang :