Ketua Rombangan Haji Malaysia 1445H/2024 Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman (depan kanan) menyambut ketibaan kumpulan kedua jemaah haji Malaysia KT02 dari Madinah, seramai 281 orang yang tiba dengan menaiki tujuh bas pada 16 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Makkah Route: Bukti keyakinan Arab Saudi terhadap operasi haji Malaysia

SEPANG, 22 MEI: Pelaksanaan inisiatif Makkah Route untuk kali keenam membuktikan pengiktirafan antarabangsa dan keyakinan Arab Saudi terhadap kecekapan pengurusan operasi haji yang dikendalikan Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata tahap disiplin tinggi dalam kalangan jemaah haji negara turut menjadi penyumbang kepada faktor pemilihan Malaysia untuk pelaksanaan Makkah Route, inisiatif yang membantu memudahkan urusan jemaah haji.

Beliau berkata setelah melalui penerbangan selama lapan jam, jemaah haji Malaysia tidak perlu menunggu lama setibanya di tanah suci kerana proses pemeriksaan Jabatan Imigresen dan Kastam Arab Saudi telah diselesaikan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kerajaan Malaysia amat berbesar hati dan menghargai kepercayaan diberikan Kerajaan Arab Saudi kerana sekali lagi dipilih bagi musim haji tahun ini untuk menyertai program Makkah Route di samping enam negara lain iaitu Indonesia, Maghribi, Pakistan, Bangladesh, Ivory Coast dan Turkiye.

“Pemilihan Malaysia sekali lagi pada tahun ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan,” katanya pada Majlis Pelancaran Makkah Route bagi Musim Haji 1445H/2024M, di sini malam tadi.

Turut hadir Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al Sulaim, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman serta barisan Pengurusan Kanan TH.

Sementara itu, Mesaad Ibrahim berkata beliau berharap program Makkah Route itu dapat diteruskan pada tahun akan datang sebagai tanda hubungan begitu rapat antara Arab Saudi dan Malaysia.

Syed Hamadah pula berkata pelaksanaan Makkah Route meletakkan pengurusan haji TH pada tahap cemerlang kerana ia ternyata memudahkan urusan jemaah haji dan itu dapat dilihat melalui peningkatan indeks kepuasan pelanggan.

“Pihak TH amat berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi yang menyambut baik usaha memperkukuhkan hubungan dua hala ini dan diharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang demi kesejahteraan Dhuyufurrahman,” katanya.

Malaysia merupakan negara pertama di dunia diberikan kepercayaan oleh Kerajaan Arab Saudi melaksanakan Makkah Route melalui program perintisnya pada 2017.

Ia kemudian diteruskan dengan program penuh pada 2018, 2019, 2022 dan 2023.

Seramai 353 bakal haji dari kumpulan ke-38 berlepas ke tanah suci dari KLIA menaiki penerbangan Saudi Airlines SV 5013 pada 2.15 pagi tadi.

Setakat ini, hampir 11,000 jemaah haji Malaysia sudah tiba di tanah suci melalui proses Makkah Route.

Terdapat 100 penerbangan sewa khas bagi Musim Haji 1445H/2024M yang bermula pada 9 Mei lalu dan penerbangan akhir dijadualkan 9 Jun ini.

– BERNAMA


Pengarang :