Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bercakap kepada media selepas calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao diistiharkan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu di Bilik Gerakkan Utama Perpaduan Selangor, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 11 Mei 2024. 2024. Turut sama Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Doe (tiga, kanan) Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain (tiga, kiri). Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Kemenangan Sock Tao bukti Melayu sokong Kerajaan Perpaduan

HULU SELANGOR, 12 MEI: Kemenangan Pang Sock Tao memperlihat keyakinan pengundi Melayu di Kuala Kubu Bharu terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan apabila tiga daerah berjaya ditawan semula.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kawasan Sungai Air Jernih, Kerling dan Peretak yang dimenangi Sock Tao merupakan tanda pungutan suara masyarakat Melayu.

“Kita juga dapat melihat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini walaupun Perikatan Nasional (PN) menguasai Bandar Utama Batang Kali, namun majoriti menyusut dari 1,700 ke 1,300 undi.

“Saya ingin merakam penghargaan buat Pengerusi Umno Selangor Datuk Megat Zulkarnain yang membantu dan bekerja keras menarik pengundi putih yang menyumbang sokongan pengundi Melayu,” katanya pada sidang media Pejabat Umno Bahagian Hulu Selangor malam tadi.

Calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao bercakap kepada media selepas diistiharkan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu di Bilik Gerakkan Utama Perpaduan Selangor, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 11 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin turut menyifatkan peningkatan peratusan mengundi diterima calon Kerajaan Perpaduan juga merupakan satu pencapaian yang membanggakan.

“Peratusan mengundi diterima HARAPAN meningkat tiga peratus. Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu kita menerima 54 peratus dan PRK kali ini calon kita meraih 57 peratus.

“Kejayaan kita memenangi undi awal sebahagian besar adalah penjawat awam yang sebelum ini dimenangi Perikatan Nasional juga menunjukkan perkembangan baik terhadap Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Kerajaan Perpaduan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada PRK kali ini, dalam pertembungan empat penjuru, apabila memperoleh undi majoriti 3,869 undi.

Sock Tao memperoleh 14,000 undi sekali gus menewaskan PN yang diwakili Khairul Azhari Saut yang mendapat 10,131 undi manakala calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin 152 undi dan Bebas, Nyau Ke Xin hanya 188 undi.


Pengarang :