Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao menunjukkan manifestonya pada Ceramah Mega Perpaduan PRK N.06 Kuala Kubu Bahru di Bandar Utama Batang Kali pada 03 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

MB yakin Sock Tao mampu pikul amanah, teruskan legasi Kee Hiong

HULU SELANGOR, 12 MEI: Calon Kerajaan Perpaduan yang dipilih sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu mampu memikul amanah membangunkan daerah berkenaan.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari juga berkata beliau yakin keupayaan Pang Sock Tao meneruskan legasi ditinggalkan bekas penyandangnya Lee Kee Hiong.

“Saya percaya Sock Tao mampu berkhidmat dengan baik untuk semua rakyat dan pengundi di Kuala Kubu Bharu termasuk Parlimen Hulu Selangor.

“Harapan saya kepada Sock Tao untuk meneruskan kerja baik yang telah dilaksanakan mendiang selama ini dan memastikan beberapa kelemahan boleh diperbaiki ataupun perkhidmatan yang boleh dipertingkatkan.

“Ia juga untuk meneruskan legasi kemenangan Kerajaan Perpaduan di Kuala Kubu Bharu dan boleh menjadi penyuntik untuk merampas semula semua kerusi yang berada di bawah Parlimen Hulu Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan PRK akan datang,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama calon HARAPAN Pang Sock Tao (tiga, kanan) bersorak selepas diisytihar memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu di Bilik Gerakan Kerajaan Perpaduan Selangor, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 11 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Umno Hulu Selangor malam tadi. Hadir sama Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omar Din, Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo dan Pengarah PRK Kuala Kubu Baharu Ng Sze Han.

HARAPAN berjaya mempertahankan kerusi DUN berkenaan selepas Pang Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi menewaskan calon Perikatan Nasional Khairul Azhari Saut (10,131 undi), calon Bebas Nyau Ke Xin (188 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia Hafizah Zainuddin (152 undi).

Kira-kira 60 peratus daripada 39,362 pengundi menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu selepas kematian mendiang Kee Hiong pada 21 Mac lalu.


Pengarang :