Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Dato’ Mahmud Abbas (dua dari kanan) melakukan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Rumah Teres Dua Tingkat Puteri Ariana 2 Kota Puteri di Batu Arang pada 25 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKNS lancar projek rumah teres Puteri Ariana 2, terletak di lokasi strategik

GOMBAK, 25 MEI: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan projek pembinaan 72 unit rumah teres dua tingkat, Puteri Ariana 2 Kota Puteri, yang dijual harga bermula RM688,600 seunit.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata kediaman seluas 1,789 kaki persegi (kps) hingga 2,060 kps yang terletak di Batu Arang, Rawang akan mula dibina pada Ogos ini dan dijangka siap Disember 2026.

Dilengkapi empat bilik tidur dan tiga bilik air, Dato’ Mahmud Abbas berkata perumahan itu berada di lokasi strategik yang dihubungkan dengan Lebuhraya Guthrie, Lebuhraya Damansara-Shah Alam, Lebuhraya Baru Lembah Klang dan Jalan Persekutuan Shah Alam–Batu Arang.

“Projek ini juga berdekatan Universiti Selangor (Unisel) Bestari Jaya, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam dan Puncak Perdana, Hospital UiTM, Balai Polis Kota Puteri, taman permainan dan pusat komersial.

“Dibina atas kawasan seluas 2.61 hektar, rumah teres Puteri Ariana 2 mempunyai ruang anjung kereta yang luas dan susun atur pelan lantai yang efisien,” katanya pada sidang media selepas melancarkan projek berkenaan di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Dato’ Mahmud Abbas (tengah) melihat replika rumah contoh pada Majlis Pelancaran Rumah Teres Dua Tingkat Puteri Ariana 2, Kota Puteri di Batu Arang pada 25 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Beliau berkata PKNS menumpukan pembinaan moden berkonsepkan kelestarian bagi menyokong amalan alam sekitar, sosial dan amalan tadbir urus (ESG) dalam setiap pembangunan.

“Projek ini membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM52.7 juta. Pihak kami yakin projek Puteri Ariana 2 akan mendapat sambutan kerana berada di lokasi strategik yang menjadi antara perkara utama dinilai pembeli,” katanya.

Pembeli yang berminat boleh berkunjung ke galeri jualan hartanah Kota Puteri atau menghubungi eksekutif jualan PKNS di talian 03- 50220188 atau 010-9280187.


Pengarang :