Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao berucap ketika Grand Finale Ceramah Mega Perpaduan PRK Kuala Kubu Baharu di Stadium Mini Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor pada 9 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sock Tao hargai sokongan pengundi, janji beri khidmat terbaik

HULU SELANGOR, 12 MEI: Calon Kerajaan Perpaduan merakam ucapan terima kasih dan penghargaan kepada warga Kuala Kubu Bharu yang menyokong dan memberi kepercayaan kepadanya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK).

Pang Sock Tao menegaskan beliau mahu jadi wakil rakyat untuk semua penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) itu tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang politik.

“Saya ingin mendengar dan mencari mana masalah yang paling terdesak kepada penduduk tempatan. Saya berhasrat untuk mewakili semua penduduk Kuala Kubu Bharu.

“Inilah kemenangan buat penduduk, pengundi Kuala Kubu Bharu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Umno Hulu Selangor yang turut dihadiri Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) meraikan kejayaan Pang Sock Tao memenangi pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu di bilik gerakan Kerajaan Perpaduan Selangor, Hulu Selangor pada 11 Mei 2024. Foto MOHAMAD FITRI HAZIM HAZAM/SELANGORKINI

Sock Tao juga merakam penghargaan kepada mendiang Lee Kee Hiong yang berdedikasi menjaga kebajikan penduduk Kuala Kubu Bharu sepanjang berkhidmat selama tiga penggal.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera daripada HARAPAN dan terutamanya Barisan Nasional (BN).

“Penghargaan juga buat petugas media yang bekerja keras memberi liputan terbaik sepanjang berkampung selama dua minggu di Kuala Kubu Bharu,” katanya.

Kerajaan Perpaduan mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu pada PRK kali ini, dalam pertembungan empat penjuru, apabila memperoleh undi majoriti 3,869 undi.

Sock Tao memperoleh 14,000 undi, sekali gus menewaskan Perikatan Nasional (PN) yang diwakili Khairul Azhari Saut yang mendapat 10,131 undi manakala calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin 152 undi dan Bebas, Nyau Ke Xin hanya 188 undi.


Pengarang :