SHAH ALAM, 9 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan perkenan dan menyokong sepenuhnya keputusan pasukan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, esok.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bagaimanapun menzahirkan rasa kecewa kerana Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak permohonan Selangor FC supaya menangguhkan perlawanan berkenaan.
“Selaku Penaung Selangor FC, Baginda berpandangan, susulan berlakunya beberapa insiden mengancam nyawa yang melibatkan pemain dan pegawai baru-baru ini, adalah bertepatan untuk pasukan Selangor FC tidak menyertai perlawanan berkenaan yang juga merupakan aksi pertama Liga Super edisi 2024.
“Baginda bertitah, keutamaan ketika ini adalah nyawa serta keselamatan para pemain, dan bukannya untuk memenangi piala berkenaan,” menurut Istana Alam Shah dalam kenyataan di Facebook Selangor Royal Office hari ini
Titah Baginda lagi, bukan sahaja isu keselamatan, keadaan moral pasukan yang masih terganggu dan terkesan dengan insiden simbah asid yang melibatkan pemain sayap Faisal Halim juga harus diambil kira.
“Justeru, Baginda turut menyokong solidariti untuk membanteras keganasan sukan dalam apa jua bentuk #standwithfaisalhalim #stoptheviolence.
“Baginda mahu semua pihak memahami bahawa tahap keseriusan insiden yang melibatkan nyawa pemain sebegini adalah tidak sama dengan kes-kes sebelum ini, apatah lagi ia berlaku sangat hampir dengan tarikh perlawanan,” menurut kenyataan itu lagi.
Baginda turut menegaskan bahawa Selangor FC sedia berdepan dengan apa jua tindakan, susulan daripada keputusan untuk tidak hadir ke perlawanan ini.