Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika program Ramah Mesra Perpaduan Komuniti India Kuala Kubu Bharu di Laman Gapimas, Serendah, Hulu Selangor pada 8 Mei 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRK KKB: Pengundi bijak memilih wakil rakyat, MB yakin Perpaduan kekalkan kerusi

HULU SELANGOR, 8 MEI: Pengundi Kuala Kubu Bharu perlu bijak memilih wakil rakyat yang mampu membela nasib mereka sekali gus membangunkan lagi kawasan berkenaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dasar yang diamalkan Kerajaan Selangor amat jelas dan mementingkan kebajikan rakyatnya tanpa mengira kaum dan bangsa.

“Kerajaan Selangor adalah negeri yang paling ramai masyarakat berbilang kaum dan meningkat setiap tahun kerana ramai datang untuk bekerja serta berniaga.

“Sebab itu, jika hendak pilih wakil rakyat, pilihlah mereka yang pandang semua kaum… bukannya pandang anda masa mengundi sahaja. Bagi Kerajaan Negeri, dasar kita jelas iaitu memanfaat semua dan beri bantuan tanpa mengecualikan sesiapa.

“Contohnya, kita peruntukan bantuan kepada sekolah agama rakyat, kita juga tidak lupakan sekolah jenis kebangsaan tamil. Setiap tahun tanpa gagal kita beri peruntukan kepada 98 buah sekolah,” ucapnya pada program ramah mesra perpaduan bersama ketua komuniti India di sini malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengadakan pertemuan dengan pemimpin masyarakat India di pejabat penyelaras Parlimen Hulu Selangor. Foto X Jay Jay Denis

Dalam pertemuan itu, Amirudin turut berkata pihaknya mendapatkan laporan berkenaan trend pengundian dan kecendurangan pengundi setiap hari bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

“Saya yakin dapat kekalkan (kerusi) dan pastikan majoriti selesa tetapi semuanya bergantung pada kadar peratusan keluar mengundi dan cuaca.

“Ini semua beri kesan dan pengundi perlu jalankan tanggungjawab untuk memastikan kelangsungan pembangunan serta perancangan di Kuala Kubu Bharu berterusan,” katanya.

(Dari kiri) Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (PRM) pada hari penamaan calon PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Bharu pada 27 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac selepas bergelut melawan barah beberapa tahun lalu.

PRK Kuala Kubu Baharu ialah PRK ketujuh diadakan selepas pilihan raya umum ke-15. Seramai 40,226 pengundi berdaftar di DUN tersebut termasuk polis dan tentera.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian pada Sabtu ini manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).


Pengarang :