Persatuan Golf Malaysia Pasukan Sukan Malaysia SUKMA pada Sesi perkenalan pasukan bagi Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2024 di Kelab Golf Seri Selangor pada 12 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

123 pemain remaja berentap di Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2024

PETALING JAYA, 12 JUN: Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2024 yang membuka tirainya esok bakal menyaksikan 123 pemain berentap di Kelab Golf Seri Selangor di sini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Setia Haris Kasim berkata berlangsung hingga Sabtu ini pemain muda berusia 12 hingga 18 tahun dari 12 negara akan bersaing bagi kategori individu serta berkumpulan lelaki dan perempuan.

Katanya, kejohanan itu turut menyaksikan beberapa pemain remaja terbaik Malaysia beraksi termasuk daripada Persatuan Golf Malaysia, pasukan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor, UUM International School Melaka (UUMISM), Akademi Golf PKNS dan SportExcel.

“Bersaing dengan rakan sebaya dari negara lain sekali gus membolehkan mereka menilai prestasi serta perkara yang boleh diperbaiki,” katanya berucap pada majlis pengenalan pasukan di Kelab Golf Seri Selangor malam ini.

Antara bakat muda terlibat termasuk dari Korea Selatan, China, India, Filipina, Thailand, Indonesia, Australia, Bangladesh, Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu.

Juara kategori individu lelaki berpeluang menyertai PKNS Selangor Masters 2024 dari 19 hingga 22 Jun di venue sama yang menjadi platform penting untuk pemain golf muda menimba pengalaman bersaing dalam kejohanan profesional.

Sebelum ini Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata acara itu menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam sukan tersebut.

Menurut Amirudin dua kejohanan ini seiring komitmen Selangor untuk membangunkan sukan golf selain menjadi platform terutama pemain profresional terutama perserta dari Malaysia untuk meningkatkan kerjaya mereka dalam sukan ini.


Pengarang :