AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Amir Jahari, Tomok meriahkan karnival PKNS hujung minggu depan

SHAH ALAM, 21 JUN: Penyanyi terkenal Amir Jahari dan Tomok antara barisan artis yang akan memeriahkan Pilih Karnival Mega anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hujung minggu depan.

PKNS memaklumkan karnival selama dua hari pada 29 dan 30 Jun turut diserikan dengan pelbagai program menarik seperti belon udara panas, larian santai, mini zoo dan cabutan bertuah.

“Jangan lupa datang ke Pilih Karnival Mega pada 29 dan 30 Jun bertempat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Macam-macam aktiviti disediakan untuk anda.

“Ramai artis terkemuka akan buat persembahan juga seperti Tomok, Amir Jahari, Johan, Amir Masdi dan kumpulan Pretty Ugly,” katanya menerusi siaran video di Facebook.

Menurut PKNS, acara tersebut turut menampilkan penceramah bebas, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat bersama Achey dan Atu Zero menerusi program Audio Siar Sketsa.

Tambahnya, karnival pada Sabtu dijadual berlangsung bermula 7 pagi hingga 11 malam manakala pada Ahad bermula 7.30 pagi hingga 6.30 petang.

Ditubuhkan pada 1 Ogos 1964, PKNS menyambut ulang tahun ke-60 pada tahun ini sebagai agensi pembangunan negeri antara yang terunggul di Malaysia.

 


Pengarang :