Pekerja mengisi minyak diesel kenderaan pelanggan semasa tinjauan di stesen minyak di Jalan Tok Adis Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada 9 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bantuan tunai diesel untuk individu, 100,000 permohonan dilulus

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Sebanyak 100,000 permohonan bantuan tunai subsidi diesel di bawah inisiatif BUDI MADANI untuk pemilik kenderaan diesel individu (BUDI Individu) serta petani dan pekebun kecil (BUDI Agri-Komoditi) telah diluluskan setakat hari ini.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata matlamat penyasaran subsidi diesel adalah untuk menumpukan bantuan kepada sektor yang layak dan golongan masyarakat yang memerlukan.

“Bantuan tunai yang ditetapkan pada RM200 sebulan adalah untuk menampung perbelanjaan tambahan diesel bagi lebih 80 peratus pemilik kenderaan diesel individu.

“Saya menyeru kepada rakyat Malaysia yang layak supaya segera mendaftar bagi mendapatkan bayaran bantuan tunai diesel bulan Jun. Kerajaan komited untuk menyalurkan bantuan tunai BUDI MADANI bermula pada bulan permohonan dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amir Hamzah berkata sebanyak 30,000 pemohon telah menerima bayaran bantuan tunai pada 10 Jun, diikuti 46,000 lagi menerima bayaran hari ini manakala bagi mereka yang membuat permohonan sebelum hujung Jun ini, pemohon akan menerima bayaran pada awal Julai ini.

“Pemohon yang layak akan menerima bantuan RM200 secara bulanan melalui akaun bank masing-masing atau mendapatkan bayaran tunai di kaunter-kaunter Bank Simpanan Nasional,” katanya.

Inisiatif BUDI MADANI yang dibuka sejak 28 Mei lepas adalah platform untuk mengagihkan bantuan tunai subsidi diesel kepada pemilik kenderaan diesel melalui kategori BUDI Individu dan kepada petani kecil dan pekebun kecil melalui kategori BUDI Agri-Komoditi.

Dianggarkan 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak untuk menerima BUDI Individu manakala hampir 400,000 petani dan pekebun skala kecil berkelayakan menerima manfaat daripada BUDI Agri-Komoditi.

Bagi pemohon individu yang gagal, mereka boleh membuat semakan permohonan serta mengemukakan rayuan menerusi laman sesawang BUDI MADANI https://budimadani.gov.my.

Bagi pemohon petani dan pekebun kecil yang masih belum berdaftar di agensi di bawah kementerian yang berkenaan, mereka dinasihatkan untuk berbuat demikian terlebih dahulu sebelum mengemukakan permohonan BUDI MADANI (sekiranya belum memohon) atau mengemukakan rayuan menerusi laman sesawang BUDI MADANI.

Untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan syarat kelayakan BUDI MADANI, layari https://budimadani.gov.my atau hubungi talian bantuan BUDI MADANI 1-800-88-2747 / 03-8882 4565 / 03-8882 4566 atau e-mel ke [email protected]

Pertanyaan dan maklumat lanjut juga boleh diperoleh di semua pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri seluruh Semenanjung Malaysia.

— BERNAMA

 

 

 


Pengarang :