Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra dengan orang ramai pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Selangor 2024 di Pekan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 27 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Limpahan hab pengangkutan, peluang penduduk KKB tingkat ekonomi

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Rakyat Selangor yang saya kasihi sekalian, terutamanya warga Kuala Kubu Bharu (KKB).

Dalam beberapa hari akan datang iaitu pada Sabtu, 11 Mei, seramai lebih 40,000 penduduk di kawasan Hulu Selangor akan membuat pilihan penting dalam pilihan raya kecil KKB untuk menentukan wakil rakyat baharu mereka.

Sejak 2013, penduduk KKB telah membuat pilihan berani untuk menjamin masa depan yang lebih cerah dengan bersama Pakatan Harapan.

Dan pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor pada bulan Ogos 2023 lalu, anda telah meneruskan keyakinan kepada Harapan dan memberi kepercayaan kepada Perpaduan supaya KKB terus maju.

Apabila mantan wakil rakyat mendiang Puan Lee Kee Hiong meninggal dunia pada Mac, kini tiba masanya untuk penduduk di KKB membuat pilihan penting.

Di Selangor, KKB berada dalam posisi unik dari segi geografi serta strategik.

Pasca dua pilihan raya sebelum ini iaitu pilihan raya umum ke-15 pada November 2022 dan PRN Selangor ke-15 pada Ogos 2023, KKB menjadi satu-satunya lokaliti di Hulu Selangor yang menampilkan keberanian untuk bersama Harapan dan Perpaduan.

Dalam siri pertemuan saya bersama penduduk di kawasan berhampiran seperti Hulu Bernam dan Batang Kali, saya menerima laporan dan rasa kesal serta kegelisahan yang timbul bahawa wakil rakyat yang dipilih dalam kalangan kelompok lain dilihat tidak memberi khidmat sewajarnya kepada rakyat.

Meskipun mendiang Kee Hiong berada dalam keadaan agak tenat pada akhir tahun lalu, beliau telah mengerahkan pasukannya untuk berkhidmat bukan sahaja di KKB tetapi juga untuk warga Batang Kali yang menetap berdekatan KKB.

Dari segi komitmen khidmat, tenaga, dan idea-idea baharu, pasukan Harapan dan Perpaduan tiada tandingannya.

Dan calon yang ditampilkan untuk meneruskan legasi mendiang Kee Hiong, iaitu Puan Pang Sock Tao, adalah seorang wanita muda dan individu yang mengulang sebut tekadnya untuk menawarkan khidmat, meningkatkan kualiti infrastruktur tempatan, dan menjadi jambatan antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Pusat dan warga KKB.

Secara keseluruhannya, saya melihat ini sebagai peluang emas untuk memberi nafas baharu kepada KKB yang mempunyai potensi luas dalam tiga aspek utama:

 

■ Ekopelancongan

■ Melonjakkan ekonomi tempatan

■ Pemeliharaan alam sekitar

 

Hab pengangkutan

 

Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah mengambil peluang kedudukan KKB yang berada berhampiran dengan Serendah yang telah diposisikan sebagai hab pembuatan pengangkutan Malaysia meliputi kenderaan seperti Proton serta pembuatan dan penyelenggaraan tren dan rel selepas jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bermula terutamanya dengan adanya satu stesen di Serendah.

Tambahan kepada itu, Bandar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa dijadikan sebagai tanah Perindustrian bagi menyokong pembuatan bahan-bahan ganti industri kereta serta hab sokongan vendor.

Bukan itu sahaja. Kawasan Perindustrian Zurah di Rasa menjadi lokasi pemasangan gerabak bagi Transit Aliran Massa (MRT) serta bengkel pemasangan lokomootif tempatan dan antarabangsa.

Bagi aspek ekopelancongan pula, kawasan seperti Air Terjun Sungai Chiling di KKB, Air Terjun Serendah, dan beberapa kolam air panas seperti di Kerling, Hulu Tamu dan Sungai Inki Kalumpang dapat dicantikkan dan dipelihara sebagai tarikan bukan sahaja untuk warga Hulu Selangor tetapi penduduk Selangor di daerah lain.

Kerajaan Negeri komited untuk menyebar luas dan memperkukuh kelangsungan kawasan ini sebagai persediaan Tahun Melawat Selangor 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, dua tahun yang pasti membawa impak positif kepada ekonomi tempatan KKB.

Dari segi perancangan ke hadapan pula, baru-baru ini saya mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Selangor dalam misi pelaburan ke Jerman.

Dalam siri pertemuan saya bersama pelabur seperti Siemens, Festo, dan Dassault Systemes, mereka menyatakan komitmen untuk meningkatkan pelaburan dengan kerjasama strategik dalam aspek latihan pendidikan berkualiti tinggi menerusi modul yang akan ditambah baik sejak bermula pada 2022.

Usaha ini peluang yang harus direbut generasi muda di KKB supaya anda tidak semestinya berpindah ke Lembah Klang untuk mencari pekerjaan berkualiti yang mampu membayar gaji tinggi.

Modul latihan ini bakal memberi pendedahan dalam aspek teknologi seperti pembuatan automasi, pengendalian mesin yang menerap teknologi kecerdasan buatan ataupun artificial intelligence, serta penghasilan aplikasi dengan pengetahuan koding bertaraf tinggi.

Dan ini sudahpun terbukti apabila sekumpulan besar anak muda yang menjalani latihan mengalami peningkatan gaji dari RM1,500 sebulan kepada hingga RM4,500 dan RM5,000 dalam tempoh masa singkat.

Ini hanya beberapa contoh generasi muda menjadi keutamaan kepada Kerajaan Negeri yang membuktikan konsep Kita Selangor iaitu kesemua warga Selangor mempunyai kepentingan dan menyumbang kepada peningkatan prestasi ekonomi negeri.

Dan apabila prestasi ekonomi tempatan dan negeri ditingkat, Kerajaan Negeri dapat menggubal dasar yang memberi penghargaan kepada warga emas yang telah lama berbakti kepada negeri serta membina sebuah negeri berdaya huni dan mampan bagi kemaslahatan kita semua.

Demi menjayakan ikhtiar ini, anda warga KKB mempunyai pilihan penting untuk dibuat pada Sabtu, 11 Mei. Pilihan yang tepat adalah Puan Pang Sock Tao, calon Kerajaan Perpaduan yang mampu meneruskan harapan untuk anda semua.

 

Kekal Kuala Kubu, Kuala Kubu Perpaduan.

 

Dato’ Seri Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor

 


Pengarang :