Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada ceramah Mega Perpaduan PRK Kuala Kubu Baharu di Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor pada 3 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

MB: Kerajaan tingkat sara hidup rakyat, naik taraf prasarana awam

Sejak dianjurkan buat pertama kali pada tahun 1886, Hari Pekerja kini disambut di lebih 80 negara di seluruh dunia. Di beberapa negara, tarikh 1 Mei dikenali sebagai Hari Pekerja ataupun ‘Workers Day’, manakala ada negara yang memberikan cuti umum pada 1 Mei bagi Hari Buruh ataupun ‘Labour Day’.

Sempena Hari Pekerja tahun ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengumumkan dasar baharu Kerajaan Persekutuan bagi gaji penjawat awam.

Pertama, gaji penjawat awam akan ditingkatkan sebanyak lebih 13 peratus bermula 1 Disember tahun ini.

Dan gaji serta elaun tetap penjawat awam sedia ada yang berjumlah minima RM1,795 sebulan akan ditingkatkan melebihi RM2,000 sebulan.

Sudah pasti ini merupakan berita baik buat para penjawat awam di seluruh negara yang melihat amaun kenaikan gaji keseluruhan antara yang paling tinggi meliputi peruntukan RM10 billion dari pihak kerajaan.

Waima demikian, kenaikan ini tidak harus dilihat sebagai satu sagu hati ataupun ganjaran tetapi pengukuhan dan peningkatan amanah daripada pimpinan negara kepada semua penjawat awam.

Ini berbeza dengan bonus yang diberikan pada musim perayaan bagi meringankan beban kewangan serta bagi membolehkan para penjawat awam untuk menyambut perayaan dengan keadaan lebih senang bersama keluarga tersayang.

Peningkatan gaji merupakan dasar kerajaan, dan ini sewajarnya disambut dengan peningkatan ikhtiar dan prestasi kerana akhirnya, kita semua – pemimpin kerajaan dan penjawat awam – merupakan pasukan besar yang berkhidmat untuk rakyat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika mengadakan sidang media di Dewan Annexe, Shah Alam pada 3 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Bermula daripada menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat serta rintihan mereka, terus kepada usaha memandang dan merancang ke hadapan bagi membuat persediaan supaya negeri-negeri dan negara kita bersama-sama dalam mencapai hasrat menjadi antara 30 ekonomi terbesar menjelang tahun 2030.

Pada masa yang sama, peningkatan gaji ini tidak seharusnya terhenti pada peringkat sektor awam tetapi seelok-eloknya disambut di peringkat swasta supaya seluruh komuniti pekerja di Malaysia – awam dan swasta – dapat hidup dengan lebih bermaruah dan menyumbang kepada perkembangan ekonomi tempatan, terutamanya syarikat-syarikat kecil dan sederhana di Malaysia.

Penjawat awam mendengar ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena majlis Mahabbah Ramadan Madani bersama penjawat awam di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 22 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Malaysia mampu menjadi negara yang mempunyai gaji median paling tinggi di rantau ini dan tarikh 1 Mei harus menjadi peringatan dan pedoman bahawa kita mampu menjuarai pertarungan ke arah gaji median paling tinggi dan mengelakkan persaingan ‘race to the bottom’ (semakin merosot) yang hanya akan menyebabkan rakyat kita dibayar gaji rendah yang tidak berpatutan.

Itu yang membezakan kelompok yang hanya suka mencari masalah dengan kumpulan yang mempunyai ikhtiar mencari solusi.

Kita semua tahu bahawa harga barang secara amnya meningkat disebabkan perkembangan hidup dan teknologi. Namun ini bukan unik kepada Malaysia.

Negara-negara maju seluruh dunia mengalami kenaikan harga barang disebabkan permintaan barang yang meningkat, terutamanya pascapandemik Covid-19 yang menyebabkan rangkaian bekalan barangan utama terkesan.

Hanya dengan peningkatan gaji dapat kita memberikan kehidupan yang bermaruah kepada rakyat kita, terutamanya bagi memastikan aspek kehidupan harian seperti makanan, perumahan, pengangkutan, dan pendidikan terus dimanfaatkan oleh semua.

Meskipun begitu, tindakan penting yang bersejarah ini seharusnya dipadankan dengan komitmen yang lebih tinggi dalam kalangan penjawat awam supaya betul- betul memahami bahawa kita semua bekerja sebagai satu pasukan iaitu Pasukan Malaysia.

 

Semangat Kita Selangor

 

Itu semangat dan fahaman yang saya cuba semaikan di Selangor melalui Gagasan Kita Selangor yang membawa maksud bahawa meskipun kita berbeza dari segi etnik warna kulit, budaya, serta fahaman agama, tetapi kita semua rakyat Selangor yang hidup dan bekerja di negeri yang paling maju di Malaysia.

Komitmen dan sikap menerima realiti harus kita utamakan supaya tidak menjadi mangsa kepada sesiapa yang ingin memecahbelahkan rakyat hanya untuk memenuhi nafsu segelintir pihak yang seronok melihat masyarakat dan negara kita kucar-kacir dan dipenuhi perasaan syak wasangka antara satu sama lain.

Dalam beberapa minggu yang lalu, saya telah turun ke kawasan Kuala Kubu Bharu dan mendengar kebersamaan dan semangat kekitaan adalah apa yang rakyat mahukan.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao pada majlis pengumuman calon di Pusat Khidmat DUN Kuala Kubu Bharu pada 24 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Setelah sahabat saya, mendiang Lee Kee Hiong meninggal dunia pada bulan Mac lalu, pelbagai mesej yang disampaikan daripada rakyat bahawa meskipun mereka berlainan agama dan etnik berbanding wanita yang telah mewakili mereka sejak tahun 2013, mereka amat senang melihat usaha, produktiviti, komitmen, dan ketekunan yang dibawa oleh mendiang.

Apabila Projek Selangor Penyayang dilancarkan dua tahun lalu, mendiang YB Lee Kee Hiong telah bertemu dan memohon daripada Kerajaan Negeri kerana beliau ingin mengutamakan pembangunan infrastruktur tempatan bagi kemaslahatan rakyat.

Contohnya, pembinaan Masjid Kampung Melayu di Rasa, Hulu Selangor, pelebaran Jambatan Sungai Batang Kali, pembinaan wakaf di tanah perkuburan India di Kerling, serta penaiktarafan Pasar Awam Kuala Kubu Bharu.

Kesemua ini hanya dapat dicapai kerana rakyat memilih wakil yang benar-benar mampu mewakili mereka serta individu yang mampu memberi komitmen untuk membela semua tanpa mengira agama ataupun bangsa.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika ceramah Mega Perpaduan PRK Kuala Kubu Baharu di Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor pada 3 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Saya amat terkesan dengan pemergian mendiang Lee Kee Hiong kerana bukan sahaja hilang seorang sahabat, tetapi warga Kuala Kubu Bharu hilang seorang yang telah berkhidmat selama lebih 11 tahun. Namun dalam setiap peristiwa sudah pasti terdapat kesudahannya.

Itu yang menyebabkan proses pilihan raya kecil Kuala Kubu Baharu amat penting supaya orang KKB dapat memilih wakil rakyat yang dapat meneruskan usaha, komitmen, dan legasi mendiang Lee Kee Hiong supaya kawasan Kuala Kubu Bharu kekal sebagai wilayah perpaduan yang mencerminkan negeri Selangor sebagai negeri yang rencam, negeri yang memelihara kepentingan semua kaum dan agama di negeri Selangor.

Dalam senarai calon yang menawarkan khidmat mereka, saya berpandangan bahawa warga KKB mempunyai pilihan penting tetapi mudah, kerana Puan Pang Sock Tao yang merupakan calon Kerajaan Perpaduan Negeri Selangor adalah calon paling tepat untuk meneruskan khidmat kepada orang KKB.

11 Mei 2024, ayuh kita pastikan Kekal Kuala Kubu, terus bersama HARAPAN dan Perpaduan.

 

Dato’ Seri Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor

 


Pengarang :