Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 27 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bukit Gasing, Kota Kemuning antara lima lokasi program JER pagi ini

SHAH ALAM, 22 JUN: Program jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan ke lima lokasi esok.

Bermula 10 pagi, Jualan Ehsan Rahmah (JER) bertempat di Laman MBPJ@Boulevard, Jalan Yong Shook Lin Seksyen 52, Petaling Jaya (Bukit Gasing) dan parkir Masjid Albakri, Bukit Naga, Seksyen 32, Shah Alam (Kota Kemuning).

Jualan murah turut diadakan di padang awam Flat PKNS Seksyen 16, Shah Alam (Kota Anggerik), parkir Dewan Jasmin MBSA U/80 Jelutung Timur (Seri Setia) dan Dewan MDKS Bandar Baru Kuala Selangor (Bukit Melawati).

Inisiatif JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek) telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Program itu dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menganjurkan jualan bersubsidi terbesar.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :