Pasukan sepak takraw Selangor menjalani latihan menjelang Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak dari 17 hingga 24 Ogos 2024. Foto Facebook Majlis Sukan Negeri Selangor
AGENDASUKANKINI

EXCO: Olahraga, memanah, takraw dijangka antara penyumbang emas SUKMA

24 JUN: Selangor menyasarkan 61 pingat emas sementara kontinjen Negeri Sembilan optimis meraih lebih 20 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos depan.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata antara acara yang dijangka membawa pulang emas ialah ragbi, memanah, akuatik, olahraga, bola sepak wanita, menembak, takraw dan silat.

Beliau berkata meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk kekangan kewangan, pihaknya yakin sasaran tersebut mampu dicapai sekali gus menempatkan Selangor pada kedudukan tiga teratas di kejohanan dwitahunan itu.

“Bagi menangani cabaran ini, kerajaan negeri telah meluaskan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah dan agensi di bawah kerajaan negeri dengan menjadikan persatuan sukan tertentu sebagai pasukan angkat bagi membantu mereka membuat persiapan terbaik,” katanya.

Mohd Najwan berkata demikian selepas majlis penyerahan tajaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) berjumlah RM100,000, masing-masing kepada Persatuan Memanah Selangor dan Kesatuan Ragbi Selangor di sini hari ini.

Pada SUKMA 2022, kontinjen Selangor mengakhiri temasya di kedudukan kelima dengan mengumpul 130 pingat keseluruhan meliputi 31 emas, 55 perak dan 44 gangsa.

Dalam pada itu Ketua Kontinjen Negeri Sembilan Mustapha Nagoor berkata hampir 500 atlet negeri itu akan mengambil bahagian dalam 30 acara dengan sukan seperti basikal, tinju, olahraga, menembak dan bola sepak berpotensi menyumbangkan pingat emas.

“Sasaran pingat emas ini juga mengambil kira 30 peratus atlet kebangsaan yang mewakili negeri pada temasya itu nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelantikan bapa angkat kontinjen SUKMA Negeri Sembilan dan penyampaian dana kepada persatuan sukan negeri.

Mustapha yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri berkata kem latihan keseluruhan atlet akan diadakan pada 2 dan 3 Ogos ini bagi memastikan kecergasan serta persediaan mental atlet dalam keadaan baik.

Sementara itu beliau berkata pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai bapa angkat dalam sukan di negeri berkenaan sebagai usaha melibatkan seluruh pemimpin negeri dalam kemajuan sukan.

Mustapha berkata pihaknya juga sedang berkerjasama dengan beberapa agensi atau syarikat menerusi pendekatan ‘1 syarikat 1 sukan’ untuk membantu persatuan dalam aspek kewangan bagi melahirkan lebih ramai atlet pelapis.

— BERNAMA


Pengarang :