Aneka sayuran organik di gerai jualan B Kala Rani di Pasar Moden Taman Ehsan Kepong pada 5 Jun 2024. Pasar yang teralamat di Kuala Lumpur itu berada dalam pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang. Foto B Kala Rani
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jual sayur organik di TikTok, peserta U-PLATS tingkat pendapatan 50 peratus

SHAH ALAM, 7 JUN: Bermula dengan menjaja di kaki lima, B Kala Rani, 43, kini mampu mengembangkan perniagaan sayur-sayuran organik di media sosial sekali gus meningkatkan pendapatan bulanan hampir 50 peratus.

Peserta program Latihan Pembangunan Usahawan Platform Selangor (U-PLATS) itu mengakui banyak mempelajari ilmu baharu terutama aspek pendigitalan yang berhasil mengembangkan lagi perniagaannya.

Perniagaan yang diusahakan bersama suami N Rajah, 54, di pasar moden Taman Ehsan, Kepong kini semakin dikenali selepas aktif mempromosi jualannya di TikTok sehingga meraih 50,000 tontonan.

Peserta program Latihan Pembangunan Usahawan Platform Selangor (U-PLATS) B Kala Rani, 43,

“Jika dulu saya tidak pernah guna media sosial untuk promosi perniagaan, tapi sekarang sudah pandai mengunakan TikTok dan menarik pelanggan dari situ. Jika dulu pendapatan bersih diraih RM1,200 kini boleh mencecah RM2,500 sebulan.

“U-PLATS beri jalan untuk kami majukan perniagaan dan meluaskan pasaran. Mereka ajar kita bagaimana nak promosi dan tambah pendapatan selain didedahkan cara mengembangkan perniagaan termasuk kemahiran komunikasi, keusahawanan, media sosial, e-dagang dan penciptaan kandungan digital.” katanya yang menyertai U-PLATS pada September 2023.

Mula berniaga pada 2021 sekitar Selayang selepas berhenti sebagai guru tadika, Kala Rani yang menjual lebih 15 jenis sayur organik turut menawarkan perkhidmatan penghantaran setiap Sabtu bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Kini selain berniaga di premis tetap di Kepong kami juga buat penghantaran sayur setiap Sabtu ke kawasan lain seperti Ampang, Sungai Buloh dan Petaling Jaya selepas perniagaan saya semakin dikenali.

“Peniaga yang mahu mengembangkan perniagaan mereka disaran menyertai U-PLATS kerana ia sangat membantu dan berhasil. Jika mahu perubahan kita perlu berusaha mencari penyelesaian,” katanya ketika dihubungi.

B Kala Rani menyusun sayur-sayuran organiknya di kaki lima ketika mula berniaga sekitar Selayang pada 2021. Foto B Kala Rani

Kisah kejayaan Kala Rani turut dikongsikan Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor di Facebook.

Menurutnya, kejayaan Kala Rani ada bukti kesungguhan MBI membantu peniaga untuk terus maju menerusi pembangunan PLATS yang dilaksanakan sejak 2020.

“Kami yang menyediakan platform, galakan dan sokongan rasa berbaloi dengan apa yang telah kami berikan. Kalau kita (agensi kerajaan dan GLC) ikhlas nak bantu, buat program yang bagus pasti ada hasil yang positif untuk rakyat,” katanya.

U-PLATS adalah program latihan pendigitalan perniagaan bawah PLATS yang kini disertai 362 peserta merangkumi tiga fasa utama iaitu U-PLATS Digital, U-PLATS Let’s Halal dan U-PLATS Expand.

PLATS diperkenal pada 2020 bagi melengkapkan ekosistem agenda pendigitalan Selangor susulan penularan Covid-19 dan ditambah baik bagi memastikan peniaga menjana pendapatan sepanjang masa.


Pengarang :