Orang ramai berbelanja pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pasar raya Segi Fresh Teluk Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan Ehsan Rahmah di lapan cawangan Segi Fresh esok, Ahad

SHAH ALAM, 21 JUN: Orang ramai khususnya rakyat Selangor berpeluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan asas pada harga murah menerusi Jualan Ehsan Rahmah (JER) di lapan cawangan pasar raya Segi Fresh esok dan Ahad ini.

Bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan KPDN Selangor, program esok diadakan di cawangan Puncak Alam, Klang Sentral, Sri Muda dan Setia Mayuri.

Sementara pada Ahad pula diadakan di cawangan Jalan Kebun, Ara Damansara, Salak Tinggi dan Awani Bangi.

“Jualan Ehsan Rahmah bakal tiba minggu ini. Dapatkan harga berpatutan bulan ini.

“Segi Fresh mengucapkan terima kasih kepada PKPS dan KPDN Selangor kerana membantu mengurangkan harga. Jom bersiap-siap! Beli lebih, jimat lebih!,” maklumnya menerusi Facebook.

Julai tahun lalu, PKPS menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Segi Fresh bertujuan memperluas capaian jualan murah anjuran Kerajaan Negeri mulai 1 Ogos.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Selain bekerjasama dengan Segi Fresh, PKPS turut menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih seluruh negeri hampir setiap hari.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :