Orang ramai tidak melepaskan peluang hadir untuk membeli barang keperluan pada Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Kota Kemuning di JMB Pangsapuri Andorra pada 20 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah barangan asas di lapan lokasi hari ini, esok

SHAH ALAM, 8 JUN: Program jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan ke lapan lokasi hari ini dan esok.

Bermula 10 pagi ini, Jualan Ehsan Rahmah (JER) diadakan di Dewan Orang Ramai Telok Nipah (Pelabuhan Klang), kuarters kakitangan penjara Sungai Buloh (Ijok), padang awam Kampung Sungai Buah (Dengkil) dan Dataran Adtec Shah Alam (Sungai Kandis).

Program diteruskan esok di Surau Ar-Raudhah Pangsapuri Arista Bandar Parklands (Pelabuhan Klang), Dewan Seri Nakhoda (Sungai Air Tawar), Surau Haji Mat Som (Meru) dan berhampiran Kedai Nasi Kandar Imran Subang Bestari (Kota Damansara).

Inisiatif JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek) telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Program itu dijadual berlangsung di lebih 1,800 lokasi tahun ini, tidak termasuk program jualan murah di cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Sebelum ini, PKPS pernah menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :