Orang ramai melihat model konsep awal pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam di pusat beli belah SACC Mall, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerja roboh Stadium Shah Alam bermula, permit keluar 14 Jun

SHAH ALAM, 26 JUN : Kerja-kerja meroboh Stadium Shah Alam sudah bermula selepas permit kelulusan dikeluarkan pada 14 Jun lalu, maklum Datuk Bandar Shah Alam.

Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata sesi perbincangan berkumpulan turut diadakan pada 20 Jun bagi memuktamadkan penyediaan pelan cadangan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA).

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim pada Program Gerobok Rezeki MBSA 2024 di Masjid Baitul Mahabbah, Seksyen 27, Shah Alam pada 06 Jun 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Pada 20 Jun lalu, MBSA bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dan kumpulan perunding telah mengadakan sesi perbincangan di Double Tree Hotel, di sini.

“Sesi ini bertujuan menyelaras keperluan dan syarat teknikal bagi muktamad penyediaan pelan sebelum permohonan dikemuka secara rasmi kepada kita untuk kelulusan.

“Setakat ini, pelan pembangunan kita belum terima secara rasmi tetapi permit meroboh sudah dikeluarkan pada 14 Jun lalu dan kini kerja (meroboh) sudah mula dilaksana,” katanya.

Bercakap ketika sidang media selepas mempengerusi mesyuarat hari ini, Mohd Fauzi berkata sesi perbincangan itu diadakan lanjutan daripada kelulusan Kebenaran Merancang perobohan stadium yang dilulus pada 22 Mac.

Katanya, MBI telah mengambil tindakan segera mengemukakan permohonan pembinaan semula stadium yang baharu dengan kapasiti 44,000 hingga 45,000 kapisiti selaras dengan kelulusan Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun, jelasnya terdapat dua perkara perlu diteliti berhubung pembinaan KSSA iaitu cadangan pembinaan kolam tebatan banjir membabitkan tapak 10 ekar berhampiran kawasan pembangunan.

“Isu kedua adalah berkaitan pengurusan dan penyelesaian trafik yang memberi impak kepada kesesakan di kawasan sekitar. Dua perkara ini kita akan teliti dan bincang semula kelak,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) sempena pameran awam pembangunan semula KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 10 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pada 13 Feruari lalu, Dato’ Menteri Besar berkata proses perobohan Stadium Shah Alam dijangka mengambil masa sekitar enam bulan menggunakan kaedah konvensional tanpa bahan letupan.

Meskipun mengambil sedikit masa, kaedah itu menurut Dato’ Seri Amirudin Shari lebih selamat dan tidak memberi kesan kepada penduduk sekitar Seksyen 13.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memaklumkan pembangunan KSSA membabitkan tiga fasa dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029.

Pengurus besar unit projek khasnya berkata fasa pertama membabitkan proses perobohan dan pembinaan semula Stadium Shah Alam bermula bulan ini dan dijangka selesai pada Disember 2026.

Reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dipamerkan sempena Hari Jersi Selangor dan Pameran Awam Pembangunan KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz menjelaskan fasa kedua pula dijadual bermula pada Januari 2027 membabitkan teater tertutup, sayap sukan dan belia serta kawasan rekreasi.

Fasa terakhir untuk pembinaan terminal bersepadu dan hotel pula dijangka dimulakan antara Januari 2028 hingga Disember 2029.


Pengarang :