Reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dipamerkan sempena Hari Jersi Selangor dan Pameran Awam Pembangunan KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MB: Roboh stadium guna kaedah lazim, selesai minimum enam bulan

SABAK BERNAM, 13 FEB: Proses perobohan Stadium Shah Alam dijangka mengambil masa antara enam hingga tujuh bulan menggunakan kaedah konvensional tanpa bahan letupan.

Meskipun mengambil sedikit masa, kaedah itu menurut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari lebih selamat dan tidak memberi kesan kepada penduduk sekitar Seksyen 13.

“Minimum enam ke tujuh bulan untuk robohkan sebab dibuat secara manual. Kita fikirkan penyelesaian terbaik, memang boleh bom dan robohkan dalam masa beberapa saat tetapi akan beri kesan.

“Peringkat awal kita selesaikan perobohan dulu. Jika dapat siapkan tahun ini, hujung 2024 boleh tandatangan untuk fasa kedua,” katanya ditemui di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memaklumkan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) membabitkan tiga fasa dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029.

Pengurus besar unit projek khasnya berkata fasa pertama membabitkan proses perobohan dan pembinaan semula Stadium Shah Alam bermula bulan ini dan dijangka selesai pada Disember 2026.

Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz menjelaskan fasa kedua pula dijadual bermula pada Januari 2027 membabitkan teater tertutup, sayap sukan dan belia serta kawasan rekreasi.

Fasa terakhir untuk pembinaan terminal bersepadu dan hotel pula dijangka dimulakan antara Januari 2028 hingga Disember 2029.

 


Pengarang :