Petugas Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) melaksanakan kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) pada 5 Jun 2024. Foto Facebook Air Selangor
AGENDANASIONAL

Kerja senggara loji ikut jadual, bekalan air pulih berperingkat 3 pagi esok

SHAH ALAM, 5 JUN: Kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) mengikut jadual dan mencapai tahap 63.1 peratus setakat jam 3 petang.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjangka proses itu siap jam 7 malam ini dan pengguna akan menerima bekalan air secara berperingkat mulai 3 pagi, 6 Jun.

“Bekalan air bermula setelah kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset siap serta seterusnya apabila sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan,” katanya di Facebook.

Menurut syarikat itu, peratusan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas akan mencapai sekitar 20 peratus jam 3 petang esok, diikuti 90 peratus jam 3 pagi pada 7 Jun.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/ selain Facebook, Instagram dan X.

Syarikat itu juga boleh dihubungi di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.


Pengarang :