Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Dr Ani Ahmad melawat reruai kucing ketika Kempen Kesedaran Kebajikan Haiwan Kesayangan anjuran Kelab Kucing Malaysia bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya di Pusat Beli Belah Spectrum, Ampang Jaya pad 23 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI.
PBTSELANGOR

MPAJ laksana program pemandulan atasi lambakan haiwan terbiar

AMPANG JAYA, 23 JUN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melaksana program pemandulan bagi mengatasi pembiakan haiwan terbiar.

Yang Dipertuanya Dr Ani Ahmad berkata pihaknya mengambil usaha itu bagi mengurangkan lambakan haiwan terbiar sekali gus memberi kesedaran kepada masyarakat.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Dr Ani Ahmad berucap ketika Kempen Kesedaran Kebajikan Haiwan Kesayangan anjuran Kelab Kucing Malaysia bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya di Pusat Beli Belah Spectrum, Ampang Jaya pad 23 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI.

“Kita tidak mengambil pendekatan tangkap dan lupus haiwan kerana tindakan ini sangat kejam serta menganiaya haiwan sebaliknya laksana program pemandulan percuma dengan kerjasama beberapa pihak.

“Contohnya pada Julai depan kita kerjasama dengan Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) bagi menjalankan program pemandulan anjing dan kucing dengan menyasarkan lebih 500 ekor,” katanya selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kebajikan Haiwan Kesayangan di sini, semalam.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Dr Ani Ahmad bergambar bersama wakil-wakil pertubuhan kucing selepas menyampai sumbangan ketika Kempen Kesedaran Kebajikan Haiwan Kesayangan anjuran Kelab Kucing Malaysia bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya di Pusat Beli Belah Spectrum, Ampang Jaya pad 23 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya juga bercadang untuk mewujudkan rumah perlindungan bagi kucing dan anjing terbiar pada masa akan datang.

“Kita memang ada cadangan dan lokasinya juga telah dikenal pasti tetapi peruntukan belum mencukupi kerana perlu mempertimbang pelbagai faktor antaranya kos makanan, veterinar dan pembersihan.

“Perkara ini perlu dilihat secara komprehensif dan MPAJ kini masih dalam proses mengumpul dana seperti tabung endowmen untuk membuka rumah perlindungan bagi kucing dan anjing,” katanya.

Sebelum ini, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin mencadangkan kaedah pemandulan bagi membendung haiwan liar terutama anjing.

Baginda yang merupakan penaung Diraja bagi kempen Stray Free Selangor (SFS) di bawah SPCA Selangor turut menggesa pihak berkuasa tempatan memperinci semula pendekatan baharu yang lebih holisitik dalam menguruskan haiwan itu.

 

 

 

 


Pengarang :