Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon (tengah) bersama pemenang Kejohanan Selangor International Race (SIR) 2024 di ibu pejabat PKNS, Shah Alam pada 23 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Pelumba Malaysia Pro Cycling juara kejohanan berbasikal PKNS

SHAH ALAM, 23 JUN: Pelumba Malaysia Pro Cycling, Akmal Hakim Zakaria muncul juara kategori lumba (race) menerusi kejohanan Selangor International Race (SIR) 2024 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Akmal Hakim menewaskan pelumba Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Muhammad Shahmir Aiman Abdul Halim dan Azli Najmi Zulkefli dari pasukan JBC.

Sementara itu, bagi kategori lumba terbuka wanita pula dimenangi Zaleeka Zailan daripada TAC Opening A, naib juara Siti Nur Adibah Akma (ISportsXKasawarimotors Racing) dan Guan Joo Yoke daripada Specialized PJ di tempat ketiga.

Bagi kejohanan memasuki tahun kedua ini, juara membawa pulang hadiah pulang wang tunai RM1,500 dan jersi manakala naib juara serta tempat ketiga masing-masing memenangi wang tunai RM1,000 dan RM750 beserta plak.

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melepaskan 1,000 peserta kejohanan SIR 2024 sejauh 145 kilometer.

Peserta Kejohanan Selangor International Race (SIR) 2024 bergambar bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon selepas program yang diadakan di ibu pejabat PKNS, Shah Alam pada 23 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pelumba merentasi lebuh raya, laluan berbukit serta projek perbandaran PKNS seperti Kota Puteri, pekan ljok dan berakhir di Shah Alam.

Pada sidang media, PKNS memaklumkan bercadang menjadikan SIR sebagai acara tahunan sekali gus menggilap lebih ramai bakat pelapis.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon berkata selain merancakkan sektor pelancongan, acara yang memasuki tahun kedua penganjuran memberi peluang pelumba tempatan bersaing dengan peserta profesional pelbagai negara.

SIR 2024 turut menghimpunkan pelumba basikal antarabangsa antaranya Britain, Jepun, Singapura, Brunei, Australia, Indonesia, Filipina, Bangladesh dan Jerman.

Kejohanan itu menawarkan hadiah keseluruhan RM100,000 membabitkan dua kategori perlumbaan iaitu profesional dan amatur.

Penganjuran SIR 2024 mendapat kerjasama Selangor Youth Community (SAY), Cycling Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Arena Asia Malaysia.


Pengarang :