Penjual Mohd Arif Aiman Ahmad Azli sedang menyusun telur ketika program Jualan Prihatin Rakyat anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Taman Jenaris, Kajang pada 17 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penurunan harga telur ayam bantu golongan kurang mampu, seru harga makanan diturunkan

SHAH ALAM, 18 JUN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyambut baik keputusan kerajaan menurunkan harga runcit telur ayam 3 sen sebiji berkuat kuasa semalam.

Pegawai Pendidikannya berkata penurunan harga telur ayam membabitkan gred A, B dan C membantu rakyat berpendapatan rendah (B40) yang menjadikan barangan itu sebagai makanan asas.

Menurut N V Subbarow langkah itu turut diharap membantu menurunkan harga makanan siap masak di restoran dan gerai selari hasrat kerajaan yang mahu mengurangkan kos kehidupan rakyat.

“Kita mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk turunkan harga telur 3 sen sebiji. Ini kerana telur adalah makanan asas kepada kebanyakan rakyat terutamanya mereka yang kurang berkemampuan.

“Tetapi kita juga harap peniaga makanan dapat turunkan harga sama. CAP mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) jalankan tugas dan penguatkuasaan,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, CAP berharap kerajaan dapat mempertimbang menurunkan harga runcit bagi beberapa barangan keperluan lain bagi membantu ekonomi rakyat khususnya golongan B40.

Tambahnya antara barangan keperluan yang perlu diberi tumpuan adalah beras dan tepung selain memastikan makanan ruji tersebut bebas daripada campur tangan ‘kartel’.

“Saya harap kerajaan dengar apa yang pengguna mahukan dan bukan sekadar dengar industri sahaja. Semak dan kurangkan harga barang lain seperti beras dan tepung juga kerana ia mustahak,” katanya.

Perdana Menteri semalam mengumumkan harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji selaras usaha mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penampungan subsidi sebanyak 10 sen bagi sebiji telur ayam melibatkan perbelanjaan RM100 juta berbanding RM927 juta pada tahun lalu.

Harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C masing-masing turun kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji berkuat kuasa semalam.


Pengarang :