Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Dato’ Mahmud Abbas bercakap kepada media selepas majlis Pra Pelancaran Kejohanan Selangor International Race (SIR) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 11 Jun 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKNS, IIUM Holding bekerjasama tubuh sekolah, prasekolah

SHAH ALAM, 24 JUN: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerusi anak syarikatnya Akademi PKNS hari ini menjalin kerjasama strategik dengan IIUM Holdings Sdn Bhd sebagai usaha perbadanan itu mengukuh sinergi dalam bidang pendidikan dan keilmuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Datuk Mahmud Abbas berkata kerjasama itu antara lain akan memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pembangunan akademik ke arah pembangunan modal insan melalui penubuhan sekolah serta prasekolah.

Beliau berkata perjanjian tersebut merupakan lanjutan daripada lawatan dan perbincangan antara kedua-dua pihak yang berlangsung pada 13 Mac dan 29 April lalu.

“Memorandun Persefahaman (MoU) yang ditandatangani ini bertujuan mengembangkan peranan dan fungsi Akademi PKNS dengan menceburi bidang pendidikan menerusi pembukaan prasekolah di kawasan kediaman serta pusat perniagaan dalam kawasan pembangunan PKNS.

“Ia bersesuaian dengan perniagaan teras kumpulan IIUM Holdings Sdn Bhd antaranya adalah menawarkan perkhidmatan pendidikan dalam semua peringkat bermula dari tadika hingga pendidikan tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian MoU itu di sini hari ini.

Pada majlis itu, Akademi PKNS diwakili Ahli Lembaga Pengarah Idris Ishak dan Pengurus Besarnya Mohd Raihan Mohd Tahir manakala IIUM Holdings Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Nadzarudin Abdul Razak dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan IIUM Zahari Salleh.

Mahmud berkata PKNS mempunyai banyak tapak projek yang sedang dibangunkan dan Akademi PKNS melihat ia sebagai peluang baik untuk mereka menjalankan perniagaan berasaskan pendidikan di kawasan pembangunan tersebut antaranya Cyberjaya, Kota Puteri dan Antara Gapi.

Beliau berkata antara kerjasama yang boleh dilaksanakan segera adalah membuka cawangan baharu IIUM Educare di bangunan Akademi PKNS yang dicadangkan akan dibuka tahun ini di Shah Alam.

“Kebetulan pula, IIUM Schools (bawah IIUM Holdings) juga sedang meneroka lokasi baharu bagi pembangunan sekolah memandangkan kapasiti pelajar sedia ada sekarang telah mencapai had ditetapkan di sekolah sedia ada, selain permintaan tinggi untuk memasuki sekolah di bawah IIUM Schools,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :