Ribuan jemaah memenuhi ruang solat utama Masjid Negeri di Shah Alam bagi menyertai Maulid Syarabut dan Qasidah serta Tausiyah Perdana sempena Festival Turath Islami Selangor pada 31 Mei 2024. FOTO HAFIZ OTHMAN.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Program kupas kitab Imam Al-Ghazali pada 24, 25 dan 27 Jun

SHAH ALAM, 22 JUN: Program Talaqqi Kitab Turath Islami bagi mengupas karya agung Imam Al-Ghazali diteruskan pada 24, 25 dan 27 Jun di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Menampilkan tokoh ulama Pattani Baba Ismail Sepanjang al-Fathoni, program kesinambungan Festival Turath Islami Selangor yang dianjur hujung bulan lalu akan mengupas kitab Ihya Ulumuddin dan Mawaqif al-Marjan.

Acara pada 24 Jun meliputi dua sesi iaitu kuliah dhuha (9 hingga 11 pagi) dan kuliah isyak (9 hingga 11 malam) manakala pada 25 dan 27 Jun sesi kuliah dhuha diadakan bermula 9 hingga 11 pagi.

Siri program mengupas kitab itu anjuran bersama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), Pejabat Dato’ Menteri Besar, Media Selangor Sdn Bhd, Akademi Pemikiran Turath dan masjid negeri.

Jemputan majlis ilmu itu terbuka untuk semua muslimin dan muslimat selain kitab-kitab juga akan dijual di reruai IBDE di sana.

Kerajaan Negeri turut menganjurkan Festival Turath Islami Selangor kali kedua tahun ini pada 26 Mei hingga 2 Jun lepas.

Acara untuk memartabat syiar Islam dan menyebar warisan keilmuan Islam itu menampilkan bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Professor Dr Ali Jum’ah yang mengupas Kitab Hadis 40 Imam Nawawi.

Berlangsung di masjid negeri, festival itu turut megadakan Pameran Al-Wahyu yang mempamerkan kitab dari Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia dan koleksi individu.


Pengarang :