BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Al-Ghazali beri panduan kenali Tuhan di hujung usianya

Karya terakhir al-Ghazali sebelum menghembuskan nafas terakhir, antaranya Ramuan Kebahagiaan ditulis dalam bahasa Parsi pada awal abad ke-12.

Menukilkan pengetahuan ilmuan agung itu mengenai cara hidup Islam, perkara disentuh termasuk ibadah, kehidupan sosial, cara mengelak melakukan dosa dan petua menuju kebahagiaan.

Hujahnya, dengan melaksanakan perintah Allah SWT mengikut kemampuan, manusia akan tertarik ke dalam kimia kerohanian, sekali gus mengubah jiwa lebih zuhud kepada Tuhan. Sehubungan itu, ia memberi kebahagiaan.

Diterjemahkan ke banyak bahasa, versi terjemahan bahasa Inggeris bertajuk Alchemy of Happiness oleh Claud Field pada 1910 yang paling popular.

Kini, Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan kerjasama Media Selangor Sdn Bhd menterjemah karya agung Hujjatul Islam itu menerusi projek Siri Pencerahan Selangor.

Memakai tajuk Ramuan Kebahagiaan untuk terjemahan, Pengarah Eksekutif IBDE Farhan Affandi bersama Anwar Yusof berkongsi pengalaman pada 8 Mac mengenai usaha bersama mereka menterjemah karya itu.

Kenapa pilih buku tulisan al-Ghazali?

Farhan: Dalam memilih menterjemah karya Imam al-Ghazali, IBDE mengambil kira beberapa faktor penting.

Sebelum ini, IBDE menterjemah lima karya al-Ghazali, dan kini sedang berusaha menterjemahkan mahakarya beliau iaitu Kitab Ihya Ulumuddin, yang dijangka siap pada 2026.

Namun, mengapa buku Alkimia Kebahagiaan dipilih dan mengapa hanya bahagian awal dari kitab ini yang diterjemahkan? Imam al-Ghazali menulis buku ini sebagai respons terhadap permintaan kaumnya yang berbahasa Parsi.

Farhan Affandi

Mereka meminta beliau menulis kitab yang serupa dengan Ihya Ulumuddin tetapi dalam bahasa mereka sendiri. Buku tersebut, yang dinamakan Alkimia Kebahagiaan, memiliki isi kandungan yang hampir serupa dengan Ihya Ulumuddin, tetapi lebih ringkas.

Meskipun begitu, Alkimia dimulai dengan pengantar tentang konsep Alkimia Kebahagiaan, yang dibahagi menjadi empat bab. Sebagai perbandingan, Ihya Ulumuddin dimulai dengan perbahasan tentang ilmu.

Dalam konteks ini, IBDE memilih menterjemah hanya bahagian pengantar buku ini sebagai representasi daripada keseluruhan isi kandungannya. Hal ini dilakukan untuk menghindari pertindihan dengan perbahasan yang ada dalam Ihya Ulumuddin.

Dengan demikian, pemilihan untuk menterjemah buku ini selari dengan tujuan IBDE untuk menyediakan akses yang lebih luas terhadap pemikiran Imam al-Ghazali kepada pembaca berbahasa Melayu.

Anwar: Imam al-Ghazali merupakan Hujjatul Islam. Semua bidang ilmu pengetahuan dikuasai oleh beliau. Oleh yang demikian, setiap karya beliau sangat menakjubkan kerana diolah daripada pelbagai dimensi keilmuan.

Bagaimana proses awal menterjemah buku ini?

Farhan: Proses awal menterjemah buku ini dimulai dengan cadangan salah seorang pembaca kami yang juga berminat untuk menterjemah buku tersebut.

Namun setelah kajian lanjut, kami sedar buku ini tidak ditulis dalam bahasa Arab seperti disangka, sebaliknya ditulis dalam bahasa Parsi.

Hal ini menuntut kami mencari buku asal dan terjemahan lengkap ke dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris.

Anwar Yusof

Namun, dalam pencarian tersebut, kami menemukan terjemahan bahasa Arab yang tidak lengkap dan juga terjemahan bahasa Inggeris paling popular iaitu The Alchemy of Happiness karya Claud Field yang ternyata hanya rumusan.

Hal ini tidak sesuai dengan keinginan untuk mendapatkan terjemahan lengkap. Dengan tekad untuk mendapatkan terjemahan sesuai dengan keinginan, kami terus mencari sumber asal daripada buku ini, yang ditulis dalam bahasa Parsi.

Akhirnya, kami berjaya menemukan edisi terjemahan bahasa Inggeris lengkap, yang menjadi dasar bagi proses menterjemah buku ini ke bahasa Melayu.

Proses ini menunjukkan pentingnya penelitian memilih sumber terjemahan sesuai memastikan terjemahan dihasilkan memberi representasi tepat daripada teks asal kepada pembaca.

Anwar: Usaha menterjemah antara karya terakhir Imam al-Ghazali yang berjudul The Alchemy of Happiness ini dimulakan sejak penghujung 2021.

Oleh kerana buku ini mempunyai pelbagai versi terjemahan daripada pelbagai bahasa, kami memulakan penterjemahan ini daripada sumber umum dalam bahasa Arab terbitan Darul Muqattam edisi 2010 bertajuk Kimiya Sa’adah yang disunting oleh Abu Sahl dan Najah ‘Iwadh Siyam.

Karya Imam al-Ghazali berbahasa Arab ini bersumberkan terbitan Percetakan Jundiy 1970 yang disunting Syeikh Muhammad Mustafa Abu al-‘Ala.

Namun, setelah terjemahan daripada bahasa Arab berjaya diselesaikan, kami mendapati sumber yang terdapat di dalamnya kurang lengkap.

Pencarian kepada sumber utama lebih lengkap diteruskan selepas itu sehingga kami menemui dua terjemahan Kimia Kebahagiaan di dalam bahasa Inggeris berjudul The Alchemy of Happiness terbitan Routledge dan Global Rey yang kedua-dua terbitan tersebut diterjemahkan oleh Claud Field.

Terjemahan berbahasa Inggeris tersebut walaupun sangat baik serta masyhur sejak diterjemahkan pada 1910, namun ia ringkasan kepada Alkimia Kebahagiaan bersumberkan edisi bukan kritikal dalam bahasa Urdu.

Pencarian seterusnya berjaya menemui sumber terjemahan bahasa Inggeris yang juga bertajuk The Alchemy of Happiness oleh Jay R Crook (Md Nur) yang diterjemahkan pada 2008.

Buku ini boleh dianggap terjemahan paling dekat dengan karya asal kerana penterjemah berjaya menggabungkan dua edisi kritikal bersumberkan bahasa Parsi.

Yang pertama edisi kritikal oleh Prof Ahmad Aram diterbitkan pada 1941 dan yang kedua edisi kritikal oleh Dr Husayn Khadijah-Jam yang diterbitkan pada 1975M.

Apakah cabaran menterjemah karya sama ada dari segi bahasa dan lain-lain?

Farhan: Menterjemah sebuah karya, terutama daripada bahasa asalnya, pasti memiliki beberapa cabaran yang perlu dihadapi.

Dalam proses menterjemah buku ini, kami menghadapi beberapa cabaran, baik dari segi bahasa mahupun isi karya tersebut.

1. Bahasa asal – cabaran utama yang kami hadapi bahasa asal karya tersebut. Terjemahan daripada bahasa Parsi tentu saja memerlukan pemahaman mendalam tentang kosa kata, struktur kalimat, dan nuansa linguistiknya.

Ada beberapa istilah khusus yang tidak memiliki padanan langsung dalam bahasa Melayu, sehingga kami harus merujuk rakan kami dari Iran untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik.

2. Perbandingan dan contoh – karya Imam al-Ghazali seringkali menggunakan perbandingan dan contoh untuk menjelaskan konsep-konsep falsafahnya. Salah satu contoh yang disebutkan tentang anatomi tubuh.

Untuk memahami dengan baik dan memastikan kesesuaian terjemahan, kami harus mengambil masa untuk mempelajari anatomi tubuh agar tidak terjadi kesalahfahaman.

3. Kompleksiti konsep – perdebatan yang disajikan Imam al-Ghazali, terutama mengenai peranan jiwa dalam menguasai manusia kandungan yang sangat mencabar.

Konsep-konsep ini seringkali sangat halus/dalam dan memerlukan pemahaman mendalam untuk mengartikulasikannya dengan tepat dalam bahasa Melayu.

Ini memerlukan analisis cermat dan refleksi mendalam agar kehendak pengarang yang ingin disampaikan dapat difahami dengan jelas oleh pembaca.

Dengan menghadapi cabaran-cabaran ini, kami berusaha untuk memastikan bahawa terjemahan yang dihasilkan tetap setia pada makna asal karya Imam al-Ghazali, sehingga dapat memberi manfaat kepada pembaca.

Anwar: Seperti diterangkan sebelum ini, pencarian sumber asal terjemahan merupakan cabaran yang besar. Begitu juga dengan bahasa kerana sumber asalnya daripada bahasa Parsi. Jadi istilah yang digunakan sangat asing daripada bahasa Melayu.

Apa ilmu baharu yang diperoleh ketika proses terjemah karya itu?

Farhan: Sepanjang proses terjemahan karya ini, kami memperoleh beberapa pengetahuan baharu bermanfaat, terutama dalam hal kerohanian.

Anwar: Ilmu tentang pelbagai tingkatan alam dalam diri manusia

Berapa lama proses terjemahan?

Farhan: Proses terjemahan ini mengambil masa hampir sembilan bulan.

Apa pengajaran yang boleh dijadikan iktibar kepada pembaca?

Anwar: Saya nukilkan pengajaran diambil daripada buku penterjemah asal bahasa Inggeris Jay R Crook untuk tatapan pembaca: “Tidak ada yang lebih relevan pada masa kini daripada terjemahan karya Islam yang luar biasa ini oleh Imam al-Ghazali dengan dua alasan:

Pertama, hasil kajian terkini mengenai perubatan-psikologi dan kepercayaan agama mengesahkan bahawa model agama berfungsi dalam proses penyembuhan, oleh itu tradisi hikmah ini perlu diterjemahkan untuk digunakan oleh semua penyelidik serta pembaca agar dapat memanfaatkannya dan menggunakan ilmu tersebut untuk bidang-bidang penyelidikan lanjut.

Kedua, pada masa di mana dunia bingung dengan kepercayaan yang berbeza-beza dalam kalangan umat Islam dan tertarik untuk mengkaji apa yang kebanyakan umat Islam di dunia percayai, karya-karya Imam al-Ghazali menyediakan peluang yang sempurna untuk itu.”

Apakah kisah yang beri kesan emosi?

Anwar: Di dalam tajuk Pengetahuan tentang Dunia, Imam al-Ghazali menukilkan suatu cerita tentang sihir dunia ini: “dikisahkan bahawa dunia akan dipanggil pada Hari Kiamat dalam bentuk seorang perempuan tua yang hodoh, tidak bergigi, bermata hijau agar semua orang dapat melihatnya dan berkata:

“Kami berlindung pada Allah! Apakah ini, dengan keaiban dan kehodohan ini?” Mereka akan menjawab: “Inilah dunia yang kerananya kalian iri hati dan saling berkelahi, menumpahkan darah dan mengkhianati tali persaudaraan. Inilah yang menambat hati kalian!”

Pada saat ia dicampakkan ke dalam neraka, ia akan menangis: “Wahai Tuhanku! di mana para kekasihku?” Maka Allah akan memerintahkan agar mereka juga dihumban ke dalam neraka selepasnya.”

Apa bahagian paling menarik dalam buku ini?

Anwar: Tajuk pertama dan kedua iaitu Mengenal Diri Sendiri dan Mengenal Allah SWT berdasarkan petikan Imam al-Ghazali sendiri di dalam buku ini: “Siapa yang kenal dirinya maka dia akan kenal Tuhannya.”

Mengapa setiap rumah perlu ada buku ini?

Anwar: Bagi yang benar-benar mencintai buku dan ilmu pengetahuan, cuba lihat kembali rak-rak buku di rumah, berapa banyak karya-karya kerohanian yang menjadi simpanan kita. Saya yakin dengan karya besar Imam al-Ghazali ini, pasti mampu mengimbangi pustaka keilmuan di dalam sanubari kita.


Pengarang :