Pengurus Bahagian Korporat PWS (dua, kanan) Muhammad Hafiz Bahari menyerahkan sumbangan wakaf fisabilillah kepada Ketua Guru Sekolah KAFA Integrasi Al Hidayah, Kelana Jaya Norlatifah Ismail baru-baru ini. Facebook Perbadanan Wakaf Selangor
AGENSISELANGOR

PWS serah sumbangan RM56,270 kepada dua institusi pendidikan 

SHAH ALAM, 28 JUN: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyerahkan sumbangan wakaf fisabilillah berjumlah RM56,270 kepada dua institusi pendidikan baru-baru ini.

Menerusi Facebook rasminya, perbadanan itu memaklumkan sumbangan RM50,000 kepada Sekolah KAFA Integrasi Al Hidayah, Kelana Jaya bagi menaik taraf pejabat, bilik guru dan set siaraya sekolah.

Sekolah Kebangsaan Kampung Kuantan, Batang Kali menerima RM6,270 bagi pembelian dan pemasangan papan pintar (smart board) di kelas digital sekolah tersebut.

“Semoga sumbangan ini memberi manfaat kepada guru dan pelajar serta menjadikan jariah yang mengalir kepada pewakaf yang menyumbang di PWS sehingga yaumulakhirah,” katanya.

Turut dibuka pada hari penyerahan adalah kaunter wakaf tunai bagi memberi peluang kepada guru melaksanakan ibadah wakaf melalui kaedah potongan gaji, secara terus dan kod QR.

Katanya mereka yang berminat menyalurkan sumbangan wakaf boleh berbuat demikian melalui laman web PWS di https://fpx.wakafselangor.gov.my atau https://infaqpay.my/go/wakafselangor untuk berwakaf tunai.

Eksekutif Unit Kutipan dan Agihan Bahagian Korporat PWS (kiri) Ibnu Hubain Abdul Aziz menyerahkan sumbangan wakaf fisabilillah kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kampung Kuantan, Batang Kali Rozaiton Abdul Jalil. Facebook Perbadanan Wakaf Selangor

Pengarang :