Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan hadir ke majlis pelancaran Hotel Tanjung Subang Jaya pada 30 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Raja Muda berkenan lancar Tanjong Subang Jaya, jenama hotel FAS

SUBANG JAYA, 30 JUN: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan melancarkan Tanjong Subang Jaya, jenama perkhidmatan perhotelan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Tengku Amir Shah merangkap Presiden FAS menyempurnakan pelancaran jaringan jenama perhotelan Tanjong By FAS itu di pekarangan Kompleks Sukan 3K Subang Jaya di sini hari ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Izrin Nabil Ismail

Setiausaha agung FAS berkata sebagai lebaran baharu FAS dalam industri perhotelan, Tanjong Subang Jaya merupakan hotel bertemakan sukan bola sepak pertama di Malaysia dengan kapasiti 40 bilik.

Menurut Izrin Nabil Ismail, menggunakan pelaburan RM2.5 juta, pembangunan hotel itu memperbaharui bangunan sedia ada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) selain menempatkan pejabat urusan FAS, restoran serta Red Giant Physio Centre sebagai pusat rawatan dan pemulihan fisio bertaraf industri.

“Berpusat di Kompleks Sukan 3K, Tanjong Subang Jaya memfokuskan penggunaan fasiliti yang telah dibangunkan oleh MBSJ dengan memberi nilai tambah melalui aktiviti pembangunan bola sepak FAS.

“Ia termasuk kursus pembangunan jurulatih dan pengadil, klinik bola sepak, penganjuran pelbagai acara sukan dan seminar di peringkat tempatan dan antarabangsa serta perkhidmatan fisioterapi untuk pemulihan sukan,” katanya.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melihat bilik Hotel Tanjung Subang Jaya selepas melancarkan hotel tersebut pada 30 Jun 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurut Izrin Nabil lagi, ia diinspirasikan daripada bunga rasmi Selangor iaitu tanjong pecah sembilan yang melambangkan sejarah, kesatuan dan kejayaan sembilan daerah negeri ini yang menjadi sumber kekuatan FAS.

“Pada hari ini FAS mencatat sejarah baharu dengan pelancaran satu jenama dalam perkhidmatan perhotelan dan hospitaliti.

“Walaupun dari pandangan kasar usaha ini mungkin berbeza daripada teras FAS iaitu memberi penekanan yang besar kepada pembangunan bola sepak akar umbi namun ia amat penting dan satu langkah yang amat besar kepada FAS ke arah mewujudkan kelestarian dan kemampanan industri bola sepak Selangor.

“Menerusi usaha bersama MBSJ pelancaran hotel ini turut bertujuan mewujudkan pusat komuniti dan sukan yang aktif serta sebagai inisiatif melestarikan industri bola sepak akar umbi di Selangor,” katanya.


Pengarang :