Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling dan Program Ibadah Korban Gagasan Rumpun Selangor daerah Petaling di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling pada 19 Jun 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Raja Muda titah pegawai kerajaan mesra rakyat, laksana tanggungjawab

PETALING, 19 JUN: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor mahu pegawai dan kakitangan kerajaan bersifat mesra selain mendengar masalah dihadapi rakyat negeri ini.

Tengku Amir Shah bertitah kumpulan berkenaan merupakan aset kerajaan yang berperanan penting untuk memastikan rakyat hidup dalam kesejahteraan dan kemakmuran.

“Pegawai dan kakitangan kerajaan bertanggungjawab melaksanakan segala dasar yang digubal kerajaan demi kepentingan semua warga Selangor.

“Bagaimana elok sekali pun dasar yang digubal, ia tidak akan bermakna atau mendatangkan sebarang manfaat kepada rakyat jika pelaksanaan tidak cekap dan kurang berkesan,” titah Baginda ketika menyempurnakan perasmian Kompleks Pejabat Tanah dan Daerah Petaling hari ini.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling dan Program Ibadah Korban Gagasan Rumpun Selangor daerah Petaling di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling pada 19 Jun 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Titah Tengku Amir Shah, rakyat menaruh tinggi kepada pentadbiran yang bertindak sebagai pelaksana dasar, maka perlulah memahami masalah dan berusaha menyelesaikannya dengan adil tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

“Beta berharap segala dasar yang hendak dilaksanakan tidak akan membebankan rakyat dan dasar tersebut perlulah mendatangkan manfaat kepada rakyat.

“Pegawai dan kakitangan pejabat daerah juga hendaklah bekerjasama dengan Orang Besar Daerah iaitu wakil kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor supaya dapat sama-sama memajukan daerah dan membantu mengatasi masalah yang dihadapi oleh rakyat,” titah Baginda.

Terdahulu, sempena program berkenaan dan perayaan Aidiladha, Tengku Amir Shah berkenan menyembelih seekor lembu bagi melaksanakan ibadah korban sambil disaksikan Imam Besar Masjid Negeri Farhan Wijaya.

Baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan daging korban terbabit kepada wakil asnaf dan penduduk sekitar daerah ini.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tengah) bergambar ketika hadir merasmikan Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling dan Program Ibadah Korban Gagasan Rumpun Selangor daerah Petaling di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling pada 19 Jun 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pengarang :