Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan Dato’ Ng Suee Lim menyaksikan serahan barangan keperluan asas kepada individu memerlukan pada 6 Jun 2024. Foto Facebook Dato’ Ng Suee Lim
ADNSELANGOR

Ringan beban, 30 keluarga di DUN Sekinchan terima bantuan bulanan keperluan asas

SHAH ALAM, 8 JUN: Sebanyak 30 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan menerima bantuan bulanan barangan keperluan asas bernilai RM300 bagi meringankan perbelanjaan isi rumah.

Wakil rakyatnya Ng Suee Lim berkata pemberian selama enam bulan berturut-turut itu tidak termasuk inisiatif Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), juga berjumlah RM300 sebulan.

“Ini antara usaha bagi pihak kami untuk meringan beban perbelanjaan keluarga berpendapatan rendah. Setiap penerima akan diberi barangan keperluan asas dari syarikat ISP Group itu selama enam bulan.

“Kemudian pihak DUN akan memilih keluarga lain pula yang kurang berkemampuan. Kita akan membuat penilaian dari semasa ke semasa bagi memastikan hanya keluarga yang benar-benar layak terima manfaat,” katanya.

Beliau berkata pentadbiran negeri ini komited meringankan beban rakyat dengan melaksanakan program kebajikan untuk semua golongan.

Dalam perkembangan lain, Suee Lim berkata pihaknya turut mengagihkan 20 ekor kambing dan enam ekor lembu untuk dikorbankan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

“Kesemua haiwan ini kita akan agihkan kepada ahli majlis dan ketua kampung untum mereka serahkan di masjid dan surau sekitar Sekinchan.

“Menerusi bantuan saban tahun ini, semua surau dan masjid sekitar DUN Sekinchan boleh menjalankan ibadah korban,” katanya.

Sempena Aidiladha tahun ini, negeri memperuntuk RM6 juta bagi ibadah korban, membabitkan 1,000 kambing dan 700 lembu yang diagih kepada wakil rakyat, masjid, surau dan badan bukan kerajaan (NGO).


Pengarang :