Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Perasmian Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling dan Program Ibadah Korban Gagasan Rumpun Selangor daerah Petaling di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling pada 19 Jun 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Rumpun Selangor: Raja Muda Selangor dekati rakyat, lihat peranan agensi

PETALING, 19 JUN: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkesempatan melawat dan melihat aktiviti kehidupan rakyat menerusi Gagasan Rumpun Selangor.

Tengku Amir Shah bertitah Baginda juga berpeluang melihat peranan dan tanggungjawab dimainkan jabatan kerajaan dan swasta menerusi program yang diperkenal mulai Februari lalu.

“Setakat ini beta telah berkesempatan berangkat ke tiga daerah sempena program Gagasan Rumpun Selangor iaitu, Hulu Selangor, Hulu Langat dan Sepang.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melawat pusat pemantauan info banjir JPS Selangor selepas merasmikan Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling dan Program Ibadah Korban Gagasan Rumpun Selangor daerah Petaling di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling pada 19 Jun 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama baik daripada semua pihak yang terlibat,” titah Baginda ketika menyempurnakan perasmian Kompleks Pejabat Tanah dan Daerah Petaling.

Terdahulu, sempena program berkenaan dan perayaan Aidiladha, Tengku Amir Shah berkenan menyembelih seekor lembu bagi melaksanakan ibadah korban sambil disaksikan Imam Besar Masjid Negeri Farhan Wijaya.

Baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan daging korban terbabit kepada wakil asnaf dan penduduk sekitar daerah ini.

Dalam majlis sama, Tengku Amir Shah turut menerima sembah taklimat berhubung rancangan pembangunan negeri dari tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) selain agensi negeri.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan pada Perasmian Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Petaling dan Program Ibadah Korban Gagasan Rumpun Selangor daerah Petaling di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling pada 19 Jun 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Gagasan Rumpun Selangor diperkenal tahun ini bagi meraikan kepelbagaian dan menyemarak semangat perpaduan di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program berkenaan bakal diadakan di sembilan daerah membabitkan peruntukan RM4.5 juta.

Setakat ini, program berkenaan sudah berlangsung di Hulu Selangor, Hulu Langat dan Sepang sebelum diteruskan ke lima lagi daerah selepas Petaling hingga hujung tahun ini.


Pengarang :